LONDON: Thomas Tuchel dijangka dilantik sebagai pengurus baharu England selepas bersetuju dengan perjanjian bersama Persatuan Bolasepak (FA), lapor beberapa media Britain dan Jerman, hari ini.
The Times, Sky Sports, BBC, dan akhbar Jerman Bild melaporkan bahawa Tuchel, 51, akan dinamakan sebagai pengganti tetap Gareth Southgate.
FA enggan memberi komen mengenai laporan itu tetapi menyatakan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Bullingham akan memberikan maklumat terkini di Stadium Wembley apabila pelantikan itu dijangka disahkan.
Jurulatih dari Jerman itu, yang belum bertugas sejak meninggalkan Bayern Munich pada akhir musim lalu, akan menjadi pengurus asing ketiga bagi skuad England selepas Sven-Goran Eriksson dan Fabio Capello.
Sky Germany melaporkan bahawa beliau akan menandatangani kontrak selama 18 bulan bermula 1 Januari 2025 sehingga berakhirnya Piala Dunia 2026.
Sebagai bekas jurulatih Borussia Dortmund, Paris Saint-Germain (PSG), Chelsea dan Bayern, Tuchel mempunyai rekod kejuaraan yang dicari oleh FA untuk menamatkan penantian 58 tahun bagi memenangi kejohanan utama.
Bagaimanapun, langkah itu dikritik kerana FA tidak mempercayai jurulatih dari England untuk memegang jawatan tertinggi berkenaan.
Tuchel pernah memenangi gelaran liga di PSG dan Bayern serta Piala Jerman bersama Dortmund, tetapi kejayaan terbesarnya adalah ketika beliau mengendalikan Chelsea.
Beliau membawa The Blues meraih kejuaraan Liga Juara-Juara hanya beberapa bulan selepas mengambil alih pada 2021 dan juga memenangi Piala Super UEFA serta Piala Dunia Kelab bersama kelab London itu.
Tuchel dipecat pada September 2022 oleh kumpulan pemilik baharu Chelsea yang akhirnya tidak membuahkan hasil.
Enam bulan kemudian, beliau dilantik sebagai pengurus Bayern dan memimpin kelab itu memenangi gelaran Bundesliga untuk kali ke-11 berturut-turut.
Bagaimanapun, Tuchel juga menyaksikan kemerosotan dominasi Bayern dalam bola sepak Jerman apabila mereka mengakhiri musim lalu tanpa sebarang trofi, pertama kali dalam tempoh 12 tahun.
Lee Carsley dilantik sebagai pengurus sementara England pada Ogos lalu selepas Southgate meletak jawatan sejurus sebaik tewas di final Euro 2024.
Bagaimanapun, Carsley, yang sebelum ini adalah pengurus skuad Bawah 21, memberikan mesej yang bercampur-campur sama ada dia mahu jawatan itu secara tetap atau tidak. – AFP