Pernahkah anda berkunjung ke gerai yang menjual hasil hutan serta sayur-sayuran, tanpa kelibat peniaganya?
Kebiasaannya, kita akan bergerak dari satu gerai ke gerai yang lain sambil bertanya harga atau membayar kepada peniaga, sejurus selesai membeli.
Lain pula kisahnya di Patarikan di Lawas. Di sini, kita pasti tercari-cari kepada siapa kita hendak membayarnya?
Bagi yang pertama kali merasai situasi ini, mungkin timbul perasaan janggal dan paling utama, menguji tahap kejujuran kita.
Jika berkunjung ke gerai-gerai tepi jalan berhampiran Kampung Patarikan, di sepanjang Jalan Merapok hingga ke Jalan Kuala Lawas di Lawas, Sarawak, akan dapat dilihat banyak gerai yang menjual hasil-hasil hutan, buah-buahan serta sayur-sayuran di tepi jalan.
Sejak awal pagi, gerai tersebut sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis barangan jualan yang diletakkan oleh para peniaganya.
Bagi yang sudah biasa melalui jalan ini, tidak hairanlah jika melihat ada kenderaan yang dipandu agak perlahan. Mereka sebenarnya menjenguk ke kiri dan kanan, melihat barangan yang dijual dan mencari apa yang diidamkan.
Antara hasil hutan yang sering dilihat termasuklah ubi kayu, pucuk ubi, pucuk midin, pucuk paku, tepus, petai, jering, timun, daun nyirik, asam binjai, asam belunu, asam kelubi (asam payak), kelapa, pelbagai jenis pisang, terap, jantung pisang dan sebagainya.
Untuk pengetahuan, setiap satu barangan atau hasil hutan yang dijual, memang diletakkan tanda harga, bertujuan memudahkan si pembeli ketika membuat bayaran.
Beruntung jika membeli barangan di sini, disebabkan harganya yang murah dan segar, malah ada yang bermusim.
Apa yang perlu dilakukan ialah, selesai memilih barangan yang dibeli, bungkus sendiri dan sediakan sejumlah wang pada kadar harga yang tepat dengan nilai belian dan masukkannya ke dalam bekas yang disediakan.
Menariknya, pelbagai bentuk bekas atau tabung duit dapat dilihat, sama ada yang diperbuat daripada tin, kayu, buluh serta kotak. Ia sama ada digantung atau hanya diletakkan di sudut gerai.
MENGUJI KEJUJURAN
Maka di sinilah letaknya kejujuran dan amanah si pembeli. Mereka akan membayar pada jumlah yang dikira sendiri, bahkan ada yang membayarnya secara berlebihan sebagai satu sedekah.
Hanya di beberapa gerai sahaja pelanggan dapat bersua dengan peniaganya dan berurusan seperti biasa.
Penulis sempat menemui seorang penduduk tempatan, Mohamad Amin Jumat, ketika sedang membeli beberapa hasil hutan untuk dibawa pulang.
Menurutnya, kaedah pembayaran ini sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk tempatan atau yang pernah berurusan di sana.
“Bagi yang pertama kali, ia sesuatu yang baharu dan mungkin ada yang sukar mempercayainya, malah tidak ketinggalan yang turut merasai keseronokan,” katanya sambil menambah kaedah tersebut sudah mulai dipraktikkan sejak hampir 15 tahun yang lalu.
Amin menambah, terdapat juga gerai di sana yang menjual makanan untuk sarapan pagi, terutama ketika waktu persekolahan dan hari bekerja.
“Golongan murid, pelajar, guru dan sesiapa sahaja akan memilih makanan yang diingini dan seperti biasa – mereka pilih, bungkus sendiri, bayar di tabung dan bawa,” katanya.
Amat bertepatan sekali, ketika saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sejak berkuatkuasa 18 Mac lalu dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Ogos depan, kita seboleh-sebolehnya meminimakan sentuhan apabila berurusan dengan sesiapa sahaja.
Selain itu, ada dalam kalangan warga Bumi Kenyalang dari daerah lain seperti Miri, Limbang, warganegara Brunei Darussalam, penduduk dari Labuan serta Sabah, juga pernah singgah membeli di sini.
Mereka yang menggunakan perkhidmatan feri Kuala Lawas atau menggunakan Jalan Merapok, mereka pasti akan melintasi gerai-gerai ini.
Seperkara lagi ialah, kita amat digalakkan untuk menyediakan ‘usin damit’ atau ‘usin pacah’ yang bermaksud wang kecil atau duit syiling, memandangkan harga barangan yang dijual memang murah.
Bagi yang prihatin, mereka bolehlah berkongsi rezeki dan bermurah hati dengan memberi secara berlebihan sebagai tuntutan ibadah dalam agama Islam.
Kita perlu sedar, mungkin ada dalam kalangan mereka (peniaga) ini, yang hanya bergantung kepada pendapatan harian dengan menjual hasil-hasil hutan.
Tidak dinafikan, kadang-kadang timbul juga rasa seronok jika berurusan seperti ini, kerana ia dapat mengajar kita erti kejujuran, kesabaran, prihatin dan menjadi seorang yang tidak kedekut.
Oleh Awang Kushairy Junaidi