KUCHING: Kursus pelantikan semula Renjer Hidupan Liar Kehormat (HWR) anjuran Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) berjaya disempurnakan hari ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan perlindungan hidupan liar di negeri ini.
Menurut STA dalam kenyataan, program latihan ini dianjurkan oleh STA Training Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak.
Katanya, latihan ini bertujuan memperkasakan pengurus hutan, pegawai pemuliharaan hidupan liar, dan kakitangan dari Unit Pengurusan Hutan (FMU) untuk menambah pengetahuan mengenai ekosistem tempatan dan kepelbagaian biodiversiti.
“Kursus tersebut juga meliputi aspek penting pemuliharaan hidupan liar seperti pengurusan habitat, usaha membanteras pemburuan haram, dan protokol operasi renjer.
“Seramai 25 peserta dari sembilan syarikat ahli STA mengambil bahagian dalam kursus ini, bertujuan memperbaharui pelantikan mereka sebagai HWR di bawah Seksyen 8(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
“Renjer kehormat ini berperanan penting dalam melaporkan pelanggaran undang-undang hidupan liar, mendidik komuniti tempatan mengenai kepentingan perlindungan hidupan liar, serta membantu penguatkuasaan undang-undang pemuliharaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif STA, Annie Ting dalam kenyataan sama, memuji dedikasi semua peserta dan menegaskan bahawa usaha bersama ini penting dalam memastikan masa depan hutan dan hidupan liar yang lestari di Sarawak.
“Kerjasama dan komitmen semua pihak amat penting dalam memelihara sumber semula jadi kita. Bersama-sama, kita dapat mewujudkan masa depan yang mampan bagi hutan dan hidupan liar di negeri ini,” katanya.