BRUSSELS: Randal Kolo Muani dari Paris Saint-Germain (PSG) meledak dua gol ketika Perancis menang sekali lagi di sebalik ketiadaan Kylian Mbappe awal pagi tadi, mengalahkan Belgium 2-1 di gelanggang lawan dalam Liga Negara-Negara UEFA.
Gol pembukaan menerusi sepakan penalti Kolo Muani pada minit ke-35 di Stadium King Baudouin dipadamkan oleh Lois Openda pada masa kecederaan babak pertama.
Namun Kolo Muani, yang bermula sukar musim ini bersama kelabnya, kemudian menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-62.
Perancis, yang menyaksikan pemain Belgium, Youri Tielemans mensia-siakan sepakan penalti awal, bertahan dengan 10 pemain selepas kapten Aurelien Tchouameni dibuang padang pada lewat perlawanan.
“Saya gembira buatnya,” jurulatih Didier Deschamps memberitahu L’Equipe TVapabila ditanya mengenai sumbangan Kolo Muani, yang tidak diturunkan dalam kesebelasan utama di PSG.
“Randal beraksi bagus bersama kami. Dia penuh keyakinan dan perlawanan pertama (menentang Israel) menyaksikan dia bertindak bagus juga.
“Dia mempunyai keupayaan untuk menyelinap masuk. Dia turut bertindak agak baik hari ini ketika membelakangkan gol dan dia amat bagus di udara.”
Kemenangan itu adalah yang kedua buat Perancis ketika tugasan antarabangsa kali ini, di sebalik ketiadaan kapten Mbappe, yang dibenarkan untuk dikecualikan daripada perlawanan itu susulan kecederaan paha baru-baru ini.
Perancis tidak berdepan masalah membenam Israel 4-1 di Budapest tanpanya minggu lalu, tetapi bayang-bayang Mbappe masih membelenggau perlawanan itu.
Ketika Les Bleus turun ke padang di ibu negara Belgium, satu laporan akhbar di Sweden mendakwa Mbappe disiasat kerana tuduhan merogol selepas berkunjung ke Stockholm minggu lalu.
Mbappe mendakwa dalam hantaran di laman X, terdapat kaitan dengan pendengarannya di hadapan jawatankuasa liga Perancis hari ini dalam pertikaian sengitnya mengenai gaji yang tidak dibayar oleh bekas kelabnya PSG.
“Berita palsu!!!! Ia boleh diramal, menjelang perbicaraan, seolah-olah secara kebetulan,” tulis Mbappe.
Masih perlu dilihat jika bintang Real Madrid itu akan kembali bagi perlawanan terakhir kumpulan Liga Negara-Negara bulan depan, apabila Perancis boleh mengesahkan tempat ke suku akhir.
Juara Liga Negara-Negara pada 2021, Perancis menghuni tangga kedua dalam Kumpulan A2 dengan sembilan mata, satu mata di belakang Itali, yang mengalahkan Israel 4-1 awal pagi tadi.
Perancis juga lima mata lebih baik berbanding Belgium di tempat ketiga, dengan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke suku akhir Mac depan. – AFP