PETRA JAYA: Cek bernilai RM75.7 juta diserahkan kepada 233 pemilik tanah di Kampung Pulo Ulu dalam satu majlis penyerahan cek pampasan, surat hak milik tanah dan kunci rumah Darul Hana hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah tersebut, pampasan melibatkan 124 lot tanah berhak milik dan satu lot tanah hak adat Bumiputera, selain penyerahan kunci rumah kepada 60 ketua isi rumah dari Kampung Pulo Ulu sebagai sebahagian projek perumahan Darul Hana
Katanya, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan dikenakan syarat khas bagi kegunaan kediaman untuk pemilik-pemilik rumah di Darul Hana ini.
“Saya bagi pihak kerajaan Sarawak ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kampung yang terlibat.
“Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka sudah tinggal di kampung-kampung ini sangat lama, jadi ia perlu persefahaman, mereka boleh melihat apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan untuk kepentingan mereka.
“Mereka yakin melalui pelaksanaan projek ini, mampu memberikan masa depan yang lebih baik, “katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan cek pampasan, Surat Hak Milik Tanah dan kunci rumah Darul Hana bagi Kampung Pulo Ulu, di Wisma SABATI, di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Abdul Rahman Junaidi dalam ucapannya menyatakan seramai 233 orang daripada 347 penerima menerima cek pampasan.
Daripada jumlah 347 penerima ini, 30 orang menerima cek pampasan dan surat hak milik tanah, 84 orang menerima surat hak milik tanah sahaja, 60 ketua isi rumah menerima kunci rumah dan selebihnya hanya menerima cek pampasan.
“Perpindahan 60 penduduk ini merupakan unit terakhir bagi fasa pertama. Inilah inisiatif kerajaan dalam menyediakan penempatan baharu kepada penduduk di kawasan perkampungan Seberang Hilir, dengan pelbagai kelengkapan dari sudut sosial dan ekonomi turut disediakan,” katanya.
Beliau berkata, kawasan tanah yang telah dilapangkan di sekitar kawasan perumahan Darul Hana itu adalah untuk fasa kedua projek tersebut.
“Ada penduduk kampung seperti Boyan, Bintawa, Gersik dan lain-lain menunggu giliran mereka untuk berpindah.
“Pertanyaan ini susulan mereka sudah melihat keadaan penduduk fasa awal yang sudah berpindah, hidup dalam suasana perumahan yang baik dan sistematik.
“Buat masa ini, kita sudah lihat tanah di sekitar kawasan perumahan Darul Hana diluaskan, ia adalah untuk fasa kedua.
“Besar harapan agar proses pembinaan ini dapat dipercepatkan sepanjang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang bermula tahun depan.
“Kita mahu pastikan semua penduduk kampung dapat menikmati kemudahan asas yang disediakan dalam sistem perumahan Darul Hana demi kesejahteraan hidup keluarga dan generasi akan datang,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT