KUCHING: Bekas wartawan, Dr Abang Patdeli Abang Muhi dianugerahi Anugerah Sasterawan Sarawak keenam sempena Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 sebagai mengiktiraf komitmen, kepakaran serta ketokohannya sebagai penulis dan sasterawan.
Anak kelahiran Kampung Sebangan, Simunjan itu adalah bekas Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.
Pengerusi Panel Penilai Anugerah Sastera Sarawak ke-11, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah berkata majlis penyampaian anugerah itu akan diadakan pada 30 Oktober ini di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Sebagai pengiktirafan kepada penerima anugerah ini, dengan persetujuan pihak Astana Negeri Sarawak, majlis penyampaian Anugerah Sastera Sarawak ke-11 akan diadakan secara rasmi pada 30 Oktober depan,” katanya pada sidang media Anugerah Sastera Sarawak ke-11 di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan Abang Patdeli sebagai penerima anugerah ini didorong oleh penglibatan aktifnya dalam dunia sastera dan akademik.
“Saudara Abang Patdeli terlibat dalam hampir semua perjumpaan dan sangat aktif dalam pembentangan kertas kerja di pelbagai bengkel dan seminar, bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa,”katanya.
Anugerah yang sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Sastera Negeri Sarawak (ASNS) merupakan projek terulung kegiatan kesusasteraan dan kebahasaan di Sarawak.
“Projek ini telah dimulakan pada 1994. Sejak itu, majlis Anugerah Sastera Sarawak telah dilangsungkan pada 1995, 1997, 1998, 1999, 2001, 2009, 2014, dan 2018.
“Sepanjang pelaksanaan, terdapat lima orang penerima utama – Anugerah Sasterawan Sarawak. Pemenang pada kali ini adalah ditentukan oleh barisan Panel Penilai Anugerah Sastera Sarawak,” katanya.
Abang Patdeli juga pernah bertugas sebagai Timbalan Pengarah di DBP Cawangan Sarawak, Ketua Unit Sosiobudaya di Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, DBP Kuala Lumpur, Ketua Unit Muzium Bahasa dan Sastera di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah bertugas sebagai Pensyarah Sambilan di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak dan aktif menganggotai lebih 50 jawatan kuasa yang merangkumi pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Oleh Noor Ikmal