KUCHING: Sambutan hangat sekitar 3,000 penonton menyaksikan Konsert Hafiz Suip – Perjalananku di sini, malam tadi menjadi bukti nyata penyanyi kelahiran Sarawak itu masih berbisa.
Meskipun telah menapak selama 15 tahun dalam industri nyanyian dan hiburan, kehadiran Hafiz pada konsert sulungnya di Bumi Sarawak itu mendapat sambutan luar biasa apabila Pusat Acara Hikmah Exchange digegarkan dengan laungan peminat setia penyanyi yang popular dengan lagu ‘Awan Nano’ itu.
Lahir menerusi program realiti Akademi Fantasia Musim Ke-7 (AF7) itu melepaskan kerinduan peminat menerusi lagu Awan Nano sebagai pembuka tirai konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu.
Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) semakin digegarkan dengan lagunya yang diterbitkan pada 2012, iaitu ‘Masih Jelas’ dan disusuli lagu ‘I believe I Can Fly’ (nyanyian asal R. Kelly).
Tidak menghampakan peminat, Hafiz yang pernah memenangi Anugerah Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-34 terus ‘membayar kerinduan’ peminat dengan dendangan lagu Matahari dan Noktah Cinta.
Anak kelahiran Kuching itu dalam respons ringkasnya dari atas pentas turut menzahirkan rasa terharu atas sambutan dan sokongan yang diberikan peminat.
“Ini merupakan konsert pertama saya di Sarawak, namun sokongan padu yang diberikan amat menggalakkan.
“Berdasarkan info yang saya terima, ada peminat yang sanggup datang dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan bahkan dari negara jiran iaitu Brunei,” katanya.
Seolah-olah masih belum terubat rindu, Hafiz kemudian tampil mendendangkan lagu duet bersama penyanyi terkemuka negara, Ernie Zakri menerusi lagu ‘Berakhirlah Pencarianku’.
Kehangatan konsert malam tadi terus meriah dengan persembahan solo Ernie yang mendendangkan dua lagu hitnya – ‘Masing-Masing’ dan ‘Gelita’.
Keseluruhannya Hafiz menghibur halwa telinga peminat dengan 14 lagu. Antaranya termasuklah Ombak Rindu, Kisah Cinta Kita, Ku Akui, Terus Bersinar dan Bahagiamu Deritaku.
Selain itu, beliau turut menyanyikan tiga lagu ‘medley’ iaitu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta, Kenangan Lalu dan Rindu Bayangan.
Selain menampilkan Ernie, Hafiz turut mengundang enam penyanyi tempatan dari SARA Entertainment manakala persembahannya dipimpin oleh pengarah muzik, Datuk Acis.
Turut hadir memberi sokongan pada malam tadi ialah komposer ternama, Mohamad Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri dan Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
Oleh RYNNA SHA’ERRA dan NOOR IKMAL