KUCHING: Terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimau.
Begitulah peribahasa yang sesuai menggambarkan nasib lima rakyat tempatan dari Sarawak yang kini terkandas di Kemboja setelah diselamatkan daripada penipuan pekerjaan.
Setelah diselamatkan daripada penipuan pekerjaan yang memaksa mereka bekerja sekurang-kurangnya antara 12 hingga 13 jam sehari tanpa dibayar gaji, kini mereka masih belum dapat pulang ke pangkuan keluarga kerana masih terkandas di Kemboja.
Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Milton Foo, berkata tiga daripada mangsa kini ditahan di Pusat Imigresen di Sihanoukville manakala dua lagi ditahan di Pusat Pembuangan Imigresen.
”Saya telah dihubungi salah seorang mangsa dikenali sebagai Nathalya yang mengesahkan seramai tujuh rakyat Malaysia terkandas termasuk dua individu dari Johor.
”Setelah mendapat aduan daripada ibu salah seorang mangsa, saya terus menghubungi kedutaan Malaysia di Kemboja dan mereka mengesahkan perkara tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat SUPP di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Milton memberitahu mangsa yang terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki dalam lingkungan 20-an itu terkandas di pusat imigresen dan bukannya di Kedutaan Malaysia di Kemboja.
Jelasnya lagi, surat rayuan telah dihantar kepada kerajaan Kemboja, tetapi mereka masih menunggu kelulusan pihak berkuasa Kemboja untuk meneruskan penghantaran pulang.
”Sekiranya mereka berada di kedutaan, keselamatan mereka adalah terjamin tapi sekarang mereka masih ditahan di imigresen dan kami tidak tahu bagaimana keadaan mereka.
”Jadi, apa yang kita boleh lakukan pada masa ini adalah untuk terus menghubungi Menteri Kemboja di Malaysia.
”Selain itu, kita akan menghantar surat rayuan beserta laporan polis kepada kementerian untuk mendapat bantuan segera supaya anak-anak mereka boleh pulang dengan selamat,” jelasnya.
Justeru, Milton memberi jaminan untuk mengusahakan inisiatif terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut sekali gus membawa pulang kesemua mangsa dalam keadaan selamat.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua masyarakat terutamanya golongan muda yang mencari pekerjaan untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang menawarkan gaji lumayan di luar negara.
”Sentiasa berwaspada dan beringatlah bahawa adalah mustahil untuk kita memperoleh pekerjaan yang menjanjikan gaji tinggi melainkan anda seorang yang profesional seperti jurutera atau doktor,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang menghadapi situasi serupa supaya tidak mempercayai mana-mana pertubuhan pihak ketiga atau pertubuhan bukan kerajaan dan hanya mendapatkan bantuan daripada saluran kerajaan atau parti politik.
”Penipu sekarang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya kita. Justeru, sekiranya anda menerima panggilan video yang kelihatan seperti anak anda, jangan terus mengirim wang sehingga anda bertemu mereka secara peribadi atau sahkan melalui saluran yang betul,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA