MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Miri menahan sebuah vesel penangkapan ikan asing (VNA) Vietnam dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk rampasan diesel lebih kurang 5,000 liter di sini, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Miri, Leftenan Komander Maritim Muhd Firdaus Saniman berkata, VNA tersebut ditahan jam 8.16 pagi pada jarak kira-kira 174 batu nautika dari barat laut Tanjung Barat dan 62.1 batu nautika pada jarak dari sempadan negara.
Ia disyaki telah memasuki perairan perikanan negara tanpa memaklumkan kepada Pengarah Perikanan Malaysia.
Katanya, tangkapan itu dilakukan oleh sebuah kapal milik agensi ini yang sedang melaksanakan rondaan di sekitar perairan Sarawak dalam Op Khas Raja Laut, Op Permai, Op Khas Naga Timur dan Op Tiris.
Semasa kapal ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan Sarawak semalam, sekitar jam 7.34 pagi kapal telah mengesan sebuah VNA dalam keadaan mencurigakan.
“Pada awalnya VNA ini tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri apabila diarahkan untuk menghentikan vesel.
“Melihat keadaan yang berlarutan, kapal Maritim Malaysia bertindak pantas memintas dan melakukan ‘force boarding’ bagi menghentikan VNA tersebut.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan, VNA ini disyaki berasal dari negara Vietnam berdasarkan nombor pendaftaran yang tertera pada vesel, reka bentuk dan ciri-ciri fizikalnya.
“Terdapat seramai empat awak-awak dan seorang tekong yang kesemuanya adalah lelaki berusia dalam lingkungan 35 hingga 55 tahun disyaki warganegara Vietnam berdasarkan pertuturan yang digunakan dan kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pejabat Baru Komplek Zon Maritim Miri, hari ini.
Firdaus berkata, VNA dan kesemua krunya telah diiring ke Pusat Tahan Vesel Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Kes disiasat dibawah peruntukkan Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta, manakala awak-awak boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
“Maritim Malaysia akan terus komited memperkasakan operasi di perairan negara bagi mengekang pencerobohan vesel penangkapan ikan asing serta tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu atau pihak yang melakukan kesalahan atau aktiviti jenayah di laut,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling