KUALA LUMPUR: Gandingan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Artik 2024, hari ini.
Dalam saingan suku akhir di Energia Areena, Vantaa, Finland, Sze Fei-Nur Izzuddin diheret beraksi hingga set penentuan sebelum berjaya mengetepikan gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 23-21, 19-21, 22-20 dalam pertarungan penuh mendebarkan.
Pasangan profesional negara itu akan berdepan pemenang satu lagi aksi suku akhir antara rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam pemburuan slot final.
Turut melangkah ke separuh akhir, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon lai Jemie selepas menewaskan rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-19, 21-15.
Soon Huat-Shevon Lai akan berdepan sama ada Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia atau wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang bertemu dalam satu lagi aksi suku akhir.– BERNAMA