MANILA: Seorang lelaki warga China, Lin Xunhan, 33, yang didakwa mengetuai sindiket penipuan dalam talian terbesar di seluruh Filipina berjaya ditahan pihak berkuasa negara itu di bandar Binan, Manila, hari ini.
Tindakan itu dilakukan susulan kerajaan Filipina yang mahu membanteras terhadap aktiviti perniagaan dalam talian yang terbabit menipu pelanggan dan dikaitkan dengan jenayah lain termasuk penculikan, pelacuran, pemerdagangan manusia, penyeksaan dan pembunuhan.
Suruhanjaya Anti-Jenayah Terancang Presiden dalam satu kenyataan berkata, Lin berasal dari wilayah Fujian, China, adalah individu yang sangat membimbangkan dalam landskap jenayah terancang di Filipina.
“Sejak 2016, Lin secara sistematik membina rangkaian sindiket penipuan, sering menggunakan perniagaan sah sebagai penyamaran untuk menyembunyikan aktiviti haramnya di Filipina.
“Walaupun beberapa premis atau pusat operasi sindiket itu diserbu dan ditutup, masih banyak yang beroperasi, menyukarkan usaha penguatkuasaan undang-undang untuk menghentikan aktiviti jenayahnya yang luas itu,” katanya.
Menurut kenyataan itu, seorang lagi suspek warga China dan sembilan pengawal peribadi warga Filipina turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang turut menemui tiga pucuk pistol.
Sindiket penipuan yang dikendalikan kebanyakannya oleh warga China itu sering menggunakan mangsa pemerdagangan manusia untuk memaksa mereka melabur dalam pelaburan kripto palsu dan penipuan lain.
Julai lalu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mengharamkan semua bentuk pengendali permainan luar pesisir, termasuk pemegang lesen permainan internet.
Ribuan pekerja asing di syarikat yang diharamkan itu diberikan tempoh dua bulan untuk meninggalkan Filipina. – AFP.