PUTRAJAYA: Pengurusan Universiti Awam berharap agar lebih banyak peruntukan dapat dipertimbangkan bagi projek penyelenggaraan bangunan usang serta menaik taraf kemudahan sedia ada dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, 18 Oktober ini.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) Prof Datuk Dr Ekhwan Toriman berkata, banyak bangunan di bawah seliaan universiti itu telah usang dan memerlukan penyelenggaraan.
“Kita memerlukan peruntukan tambahan. Walaupun kita mempunyai inisiatif untuk mendapatkan sumber dalaman atau geran dalaman, tetapi sumber dana daripada kerajaan adalah penting untuk membaiki bangunan yang rosak dan lama, baik pulih asrama, serta membaiki atap yang bocor,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan bagi pembangunan tahun depan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan.
“Kita berharap pihak kerajaan dapat memberikan pertimbangan khusus, terutama kepada universiti-universiti yang sudah berusia lebih 50 tahun seperti UKM,” katanya.
Berkongsi harapan sama, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, fasiliti yang terbaik dapat membantu memberikan pengalaman pembelajaran dan kehidupan lebih baik kepada mahasiswa.
“Apa yang paling kita perlukan adalah belanjawan yang boleh menambah baik pendidikan tinggi, maknanya kita ingin mencapai satu tahap di mana kita benar-benar dapat memaksimumkan potensi pendidikan tinggi. Ini melibatkan hal ehwal berkaitan dengan kemudahan, sama ada kepenggunaan (utilization) atau infrastruktur,” katanya.
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani pula berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan penyelidikan bagi aspek kewangan Islam, ekonomi halal dan Orang Kurang Upaya, meliputi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memastikan ia berimpak dan bermanfaat kepada ummah sejagat.
Beliau juga berharap supaya peruntukan dapat disalurkan bagi program dan aktiviti pelajar memandangkan tahun depan, USIM akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25.
Pada 30 September lepas, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan berkata pembangunan infrastruktur di institut pengajian tinggi (IPT) dan program pengantarabangsaan universiti antara fokus kementerian dalam Belanjawan 2025.
Menurut Zambry fokus juga meliputi pembangunan AI di universiti mahupun politeknik, seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin meluas.
Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM16.34 bilion kepada KPT yang meliputi RM12.21 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM4.13 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan untuk meneruskan Agenda Ekonomi MADANI KPT.
Peningkatan keseluruhan peruntukan KPT sebanyak 6.8 peratus berbanding 2023 menggambarkan peranan penting KPT sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat Melalui Bidang Pendidikan Tinggi.
Di bawah peruntukan itu, RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang. – Bernama