KUCHING: Sistem pengangkutan awam di bandar raya Kuching kini akan di tambah baik melalui perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) bernilai RM79.2 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata sebanyak 56 bas yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) ini akan mula beroperasi pada awal 2025.
Katanya, program SBST ini diperkenalkan bagi meningkatkan kebolehcapaian, kepercayaan dan kecekapan perkhidmatan awam di Sarawak.
“Program ini bertujuan untuk memastikan bas awam mudah diakses oleh semua pengguna, termasuk mereka yang kurang upaya. Ini termasuk memperkenalkan bas tingkat rendah yang sesuai untuk akses kerusi roda.
“Dengan penggunaan teknologi penjadualan dan pengesanan lanjutan melalui pemasangan sistem kedudukan sejagat (GPS) pada semua bas, SBST bertujuan untuk meminimumkan masa menunggu dan memastikan bahawa bas mematuhi jadual waktu mereka.
“Penjejakan masa nyata akan memberikan penumpang maklumat tepat mengenai ketibaan bas. Selain itu, bas ini juga akan dilengkapi untuk menerima pelbagai kaedah pembayaran, termasuk tunai, kredit/debit dan pembayaran mudah alih, memastikan fleksibiliti untuk pengguna ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian SBST antara Kerajaan Persekutuan dan Biaramas Express Sdn. Bhd. di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Loke turut menegaskan bahawa, sekiranya syarikat operasi bas ini tidak mencapai standard yang telah ditetapkan dalam perjanjian, kementeriannya akan memotong bayaran keseluruhan RM79.2 juta ini dan mengenakan denda.
“Seperti yang saya katakan, jumlah dana yang dibelanjakan untuk program ini adalah RM79.2 juta, untuk lima tahun. Ini bermakna setahun kita perlu bayar hampir RM16 juta. Jadi, kita tahu berapa kita perlu bayar mereka bulanan.
“Bagaimanapun, kita perlu melihat standard dalam perjanjian, sekiranya tidak dipenuhi, bayaran akan dipotong. Sebab itulah kita memberi syarat bas ini mesti ada GPS, jadi syarikat tidak boleh membuat tuntutan sahaja, kita akan pantau GPS, betul atau tidak mereka ada beroperasi, sejauh mana perjalanan dan masa operasi. Semua ini akan dipantau.
“Kalau tidak menepati standard perjanjian bayaran akan dipotong dan denda akan dikenakan, kerana ini adalah program yang memastikan perkhidmatan,” katahya dalam sidang media selepas majlis itu.
Sehubungan itu, bagi tambang bas ini pula, Anthony Loke menjanjikan harga tambang yang rendah dan berpatutan kepada pengguna.
“Penetapan harga tambang akan dibuat oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Harga ini kita akan bincang dengan mereka, dan sudah tentu tidak akan membebankan pengguna kerana kita (kementerian) sudah bayar kosnya. Jadi kotak tambang itu nanti hanya untuk menampung perbelanjaannya (program),” katanya.
Untuk makluman, perkhidmatan bas melalui program SBST ini akan menyediakan 10 laluan secara keseluruhan iaitu ke Bau, Serian, Bako, Kampung Benuk, Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas, Taman Malihah, SMK Matang Jaya dan SMK Agama Matang 2.
Oleh SHAHRUL QAIZAT