KUCHING: Beberapa inisiatif yang diambil oleh Sarawak dalam usahanya untuk maju lebih jauh ke dalam ekonomi hijau telah memacu negeri ini ke barisan hadapan global, menurut pakar ekonomi terkemuka Amerika Syarikat, Prof Joseph Stiglitz.
Pemenang Hadiah Nobel dalam sains ekonomi 2002 itu berkata usaha Sarawak dalam membangunkan teknologi pengeluaran hidrogen baharu, ammonia hijau dan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada mikroalga, adalah langkah inovatif yang boleh mempercepatkan kemajuan negeri ini.
“Saya sebenarnya berpendapat apabila Sarawak mengambil kesempatan daripada teknologi hidrogen baharu dan mula mempertimbangkan ammonia serta beberapa idea kreatif lain yang saya dengar seperti penggunaan alga sebagai bahan api penerbangan, telah mencetuskan konsep yang paling inovatif yang meletakkan anda di barisan hadapan,” katanya.
Bercakap di Forum Masa Depan Sarawak hari ini, Stiglitz menyatakan berbanding di Amerika Syarikat, yang mana kepentingan dalam industri bahan api fosil terus kekal, Malaysia, khususnya Sarawak, menghadapi sedikit halangan dalam peralihan kepada ekonomi hijau.
“Dalam sebuah negara seperti Malaysia, tempat seperti Sarawak, kepentingan peribadi itu tidak begitu ketara kerana anda tidak mempunyai banyak industri (bahan api fosil) yang lain. Mereka adalah cabaran sebenar (dalam menggalakkan ekonomi hijau),” katanya.
Sambil mengakui Sarawak sedang memasuki ekonomi mesra alam global dari peringkat seterusnya, Stiglitz menekankan bahawa negeri ini mempunyai kekuatan yang boleh membantunya menjadi peneraju dalam ruang ini.
“Anda (Sarawak) perlu membawa masuk saintis serta firma-firma yang akan memudahkan pembangunan ekonomi hijau tetapi saya fikir ia akan menjadi sempadan baharu yang menarik,” katanya.
Dalam sesi selama satu setengah jam tersebut, dikendalikan oleh bekas wartawan CNN, Andrew Stevens, Stiglitz turut memuji keputusan kerajaan Sarawak untuk menubuhkan dana kekayaan kedaulatan, yang disifatkannya sebagai kaedah terbaik bagi memindahkan kekayaan dari bawah tanah negeri ini ke peringkat seterusnya.
Beliau menasihatkan dana itu harus dipelihara untuk generasi akan datang, hanya digunakan dalam keadaan kritikal seperti pandemik.
“Akhirnya, sebaik sahaja dana anda dibangunkan, pembayaran dividen akan mengekalkan aliran keluar daripadanya tetapi secara keseluruhan fungsi dana kedaulatan ialah sebagai pembiayaan yang akan kekal selama-lamanya,” tambahnya.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyampaikan ucaptama pada forum sehari itu, yang dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE), sebuah subsidiari Yayasan Sarawak dan menarik kira-kira 500 peserta.– BERNAMA