BINTULU: Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Borneo (BIIIC) 2024 yang bermula pada April lalu, menjadi platform penting dalam memperkasakan generasi muda melalui inovasi dan kreativiti di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran program itu dilihat relevan bagi membentuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar.
Menuruttnya, sebanyak 93 penyertaan dari pelbagai kategori telah diterima dalam pertandingan tersebut pada tahun ini.
“Untuk menyertai pertandingan seperti ini, ia memerlukan kreativiti dan komitmen yang tinggi dalam usaha mencipta sesuatu yang baharu.
“Pertandingan ini juga penting untuk melahirkan pemikiran kelas pertama dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya dalam membantu Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee pada majlis penangguhan BIIIC 2.0 di sebuah kompleks beli-belah di sini, hari ini.
Roland Sagah berkata inovasi adalah kunci untuk menghadapi cabaran global lebih-lebih lagi Sarawak kini bergerak ke arah menjadi pusat pengeluaran hidrogen menjelang 2027, yang dijangka mencipta banyak peluang pekerjaan.
Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Bintulu, Sahibi Salleh turut memuji usaha penganjuran pertandingan tersebut yang dilihat sebagai medium konkrit untuk menggalakkan serta mendedahkan pelajar kepada kepentingan penyelidikan dan inovasi.
“Pertandingan ini dilaksanakan selaras dengan objektifnya yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berkompeten, berdaya saing, dan inovatif.
“Saya yakin bahawa pertandingan ini menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPTV) yang ingin memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional melalui pelaksanaan program-program berkualiti,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.