SUBIS: Mesin penuai buah sawit hasil inovasi Sarawak Plantation Berhad (SPB) bakal membawa perubahan besar dalam memacu industri kelapa sawit di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inovasi SPB itu bakal menjadi ‘game changer’ dalam keseluruhan industri kelapa sawit.
Katanya, ia selaras dengan visi perubahan yang beliau hasratkan dalam proses penuaian buah sawit dengan menggunakan teknologi mesin berbanding kaedah lama yang bergantung kepada tenaga manusia.
“Ini adalah ‘game changer’. Apabila saya mengambil alih daripada Allahyarham Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem), saya telah mencadangkan supaya cara kita menuai kelapa sawit mesti berubah dan menggunakan teknologi mesin.
“Saya telah meminta Datuk Amar Hamed (Sepawi) untuk melakukan penyelidikan. Selain itu, saya juga meminta Swinburne University dan CENTEXS untuk melakukan kajian bagi menghasilkan mesin tersebut.
“SPB (Sarawak Plantation Berhad) telah menjalinkan kolaboratif dengan rakan dari China untuk mereka mesin kita sendiri yang boleh digunakan untuk menuai buah sawit. Hari ini ia menampakkan kejayaan. Tahniah SPB,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian mesin penuai buah sawit di Ladang Subis, Jalan Miri – Bintulu hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr. Penguang Manggil; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan Pengerusi Eksekutif Sarawak Plantation Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.
Abang Johari berkata inovasi SPB itu akan membantu dalam menyelesaikan masalah kekurangan buruh terutama dari negara luar yang merencatkan pertumbuhan industri tersebut.
“Kedua, untuk mendapatkan tenaga buruh dari luar, terdapat proses yang perlu diselesaikan… imigresen, buruh. Proses ini memakan masa sekurang-kurangnya lapan bulan.
“Ia mewujudkan rungutan dalam industri, namun kita perlu patuh kepada undang-undang.
“Selain itu, kadar pulangan juga perlahan dari segi menuai tandan buah sawit. Jika menggunakan tenaga manusia, jika buah jatuh dan pecah, ia mengurangkan produktiviti,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar SPB memanfaatkan daun pokok kelapa sawit yang telah dituai untuk dijadikan sebagai sumber biomass.
Ke arah itu, beliau mencadangkan agar SPB mereka mesin yang berupaya untuk memotong dan menuai daun pokok serta buah sawit secara serentak.
Mesin penuai buah sawit yang diberi nama ‘Lipan’ ini dilengkapi dengan kawalan tanpa wayar, membolehkan seorang operator mengendalikan proses penuaian dengan mudah, pantas dan efisien.
Ia berupaya menuai sejumlah 300 tandan atau tiga tan metrik buah sawit sehari.
Setiap mesin tersebut berupaya melakukan kerja-kerja penuaian meliputi kawasan seluas lima hektar sehari dengan penggunaan minyak sebanyak dua liter sejam.
Terdahulu sebelum merasmikan majlis, Premier Sarawak telah menyaksikan demonstrasi mesin tersebut menuai buah kelapa sawit.
Beliau turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) membabitkan Sarawak Plantation Berhad, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd, Sarawak Plantation Services Sdn Bhd, PALMECO, Institute of Malaysian Plantation and Commodities, Sarawak Skills, Kolej Yayasan Melaka Sdn Bhd dan Miri Technical College. – EDISI UKAS