MEXICO CITY: Selang beberapa hari selepas dilantik ke jawatannya, Datuk Bandar di selatan Mexico maut akibat dibunuh dalam siri serangan terkini ke atas ahli politik di negara Amerika Latin yang dilanda aktiviti keganasan itu.
Bercakap di aplikasi X, Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado, berkata pembunuhan Datuk Bandar Chilpancingo, Alejandro Arcos itu mengakibatkan kemarahan, namun tidak memperincikan butiran lanjut mengenai kejadian terbabit.
“Cukuplah dengan keganasan dan ‘impunity’! Rakyat Guerrero tidak layak hidup dalam ketakutan,” katanya.
Media tempatan melaporkan, Arcos dipenggal, tetapi tiada pengesahan rasmi mengenainya.
Mendiang dipilih pada Jun lalu, mewakili gabungan pembangkang, termasuk Parti Revolusi Institusi (PRI) yang menyeru keadilan dan mengecam pembunuhannya sebagai ‘jenayah pengecut’.
Sementara itu, Presiden PRI, Alejandro Moreno, berkata pembunuhan Arcos berlaku beberapa hari selepas pembunuhan seorang lagi pegawai di bandar berbeza, Francisco Tapia.
“Mereka dilantik ke jawatan masing-masing kurang dari seminggu. Pegawai muda dan jujur yang mencari kemajuan untuk komuniti mereka,” katanya di aplikasi X.
Guerrero adalah antara negeri termiskin di Mexico dan berdepan aktiviti keganasan berkaitan perang kawasan antara kartel, bertujuan mengawal pengeluaran dan pengedaran dadah, sejak beberapa tahun lalu.
Sebanyak 1,890 pembunuhan direkodkan di negeri yang menempatkan bandar peranginan pantai Acapulco, lokasi terkenal bagi golongan kaya, pada tahun lalu.
Lebih 450,000 orang dibunuh, manakala puluhan ribu lagi hilang akibat aktiviti keganasan di seluruh Mexico, sejak kerajaan mengerahkan tentera untuk memerangi pengedaran dadah, pada 2006.
Ahli politik, terutama di peringkat tempatan, sering menjadi mangsa pertumpahan darah yang dikaitkan dengan rasuah dan pengedaran dadah bernilai berbilion dolar.
Insiden pembunuhan dan penculikan susulan aktiviti membanteras keganasan kartel berlaku setiap hari di Mexico dan ia menjadi antara cabaran utama dihadapi Presiden wanita pertama negara itu, Claudia Sheinbaum.
Bekas Datuk Bandar Mexico City yang mengangkat sumpah pada 1 Oktober lalu, itu berjanji meneruskan strategi ‘pelukan, bukan peluru’, diperkenalkan oleh pendahulunya, Andres Manuel Lopez Obrador, dengan menggunakan dasar sosial bagi menangani jenayah dari sumber.
Beliau dijangka melancarkan pelan keselamatan, esok.
Berdasarkan angka rasmi, sekurang-kurangnya 24 ahli politik dibunuh semasa proses pilihan raya sangat ganas, menjelang pemilihan Jun yang dimenangi figura penting parti pemerintah dengan kemenangan besar. – AFP