LONDON: Kumpulan saintis di Universiti Oxford, diketuai Profesor Ahmed Ahmed sedang membangunkan vaksin baharu bagi mencegah kanser ovari dikenali sebagai OvarianVax.
Ahmed berkata, dunia memerlukan strategi lebih baik untuk mencegah kanser ovari.
“Wanita dengan mutasi BRCA1/2 yang berada pada risiko sangat tinggi kini ditawarkan untuk menjalani pembedahan bagi mencegah kanser, namun menyebabkan mereka tidak berpeluang memiliki anak selepas prosedur berkenaan.
“Pada masa sama, banyak kes kanser ovari lain tidak dikesan hingga mereka berada pada peringkat yang jauh lebih lewat.
“Kami kini memiliki alat sangat canggih yang memberi wawasan sebenar mengenai sistem imun mengenal pasti kanser ovari,” katanya.
Penyelidikan berkenaan menerima geran bernilai hingga £600,000 (RM3.36juta) dari Cancer Research UK bagi tempoh tiga tahun akan datang dengan ujian klinikal akan dijalankan, jika ia berjaya.
Vaksin itu akan membolehkan sistem imun mengenal pasti dan menyerang peringkat awal kanser ovari, menjadikannya berpotensi untuk mencegah kanser berkenaan dari awal.
Penyelidikan itu bertujuan mengetahui jenis protein di permukaan sel kanser ovari peringkat awal yang paling dikenali sistem imun dan tahap keberkesanan vaksin membunuh organoid, model mini kanser ovari. – AFP