PETRA JAYA : Penganjuran Borneo Jazz Festival (BJF) bakal menarik lebih ramai pengunjung dari Brunei Darussalam kerana ia diadakan di Miri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata melihat kepada barisan artis yang bakal membuat persembahan seperti Dato Sheila Majid sudah pasti akan menarik ramai peminat artis itu negara jiran untuk datang.
“BJF ini diadakan di Miri jadi saya pasti rakyat Brunei akan ramai yang mengunjunginya. Ini kerana setiap bulan, pengunjung dari Brunei ke Sarawak melebihi 150,000 orang, jadi saya pasti dengan penganjuran festival ini, pengunjung dari Brunei pada November kelak akan bertambah,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Borneo Jazz Festival (BJF) 2024 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Festival Borneo Jazz bakal berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember 2024 di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri, dengan tema “Jazzy Miri”.
Acara ini dijangka meriah dengan pelbagai persembahan menarik yang menonjolkan irama jazz dari seluruh dunia.
Pada hari pertama, pengunjung akan dihiburkan oleh Makaya McCraven (Amerika Syarikat), Rio Sidik (Indonesia), WVC Jazz Ensemble (Malaysia), Gerhana Skacinta (Malaysia), dan Ta’Dan (Sarawak).
Persembahan hari kedua menampilkan artis terkemuka seperti Dato Sheila Majid (Malaysia), The Clarinet Trio (Jerman), The Shang Sisters (Malaysia), dan sekali lagi, Ta’Dan (Sarawak).
Acara ini akan dikendalikan oleh Prem Shanker sebagai juruacara untuk kedua-dua hari.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket bermula 7 Oktober 2024 menerusi laman web rasmi seperti jazzborneo.com, miricouncil.gov.my, dan deckworksevents.com.
Harga tiket ‘early bird’ tersedia sehingga 31 Oktober, dengan harga RM80 untuk satu hari dan RM150 untuk dua hari. Kemasukan hari ketiga adalah percuma.
Selepas 1 November, tiket dijual pada harga RM100 untuk satu hari dan RM180 untuk dua hari, manakala kemasukan hari ketiga masih percuma.
Untuk maklumat lanjut mengenai festival ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di jazzborneo.com atau deckworksevents.com, atau mengikuti saluran YouTube di www.youtube.com/@deckworkstv1053.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif, Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii.
Untuk makluman, BJF kali ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri.
Oleh SHAHRUL QAIZAT