PETALING JAYA: “Sejujurnya saya sedih dengan perceraian yang berlaku, namun ia keputusan terbaik,” kata pelakon filem Gol & Gincu, Fazura selepas selesai prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari hari ini.
Fazura, atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, berkata keputusan untuk bercerai antaranya berpunca kerana Fattah mengabaikan nafkah untuk beliau dan anak mereka, Nur Fatima, 4, sepanjang perkahwinan mereka.
“Sebagai seorang isteri takkan lah saya gembira dengan perceraian ini. Keputusan diambil bukan sekejap. Bertahun-tahun saya sengsara dan saya telah berfikir panjang dan reda dengan ketentuan Allah,” katanya sambal mengalirkan air mata.
Menurut pelakon wanita itu, selama ini beliau mengambil pendekatan untuk mengunci mulut bagi menjaga aibnya dan bekas suaminya itu, namun ia perlu didedahkan selepas timbul pelbagai spekulasi.
“Punca perceraian pertama ialah Fattah mengabaikan nafkah untuk saya dan anak setelah sekian lama. Kedua, kami tidak lagi persefahaman di mana saya telah lama tidak bahagia. Emosi saya terganggu dan mental saya tertekan tapi saya tetap bertahan, bertahan dan telan apa saja walaupun pelbagai tohmahan, fitnah dan cacian dilemparkan terhadap saya.
“Saya harap seorang suami akan ke depan untuk mempertahankan saya, tetapi langsung tiada dan ketiga dan saya memang tidak boleh terima lagi adalah Fattah berlaku curang terhadap saya,” kata Fazura dan beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai isu curang berkenaan.
Katanya beliau kasihan pada anaknya, Nur Fatima atas apa yang berlaku, namun sedih kerana anaknya itu tidak pernah merasa duit raya daripada ayahnya dan beliau sendiri pun tidak pernah merasa duit raya diberikan oleh Fattah sepanjang perkahwinan mereka.
Sementara itu, Fazura berkata beliau terkilan kerana bekas suaminya itu tidak menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk memujuknya sepanjang dua bulan mereka tidak tinggal sebumbung.
“Kami dah tak sebumbung selama dua bulan. Dalam tempoh itu, saya mengharapkan dia datang memujuk saya. Bukan setakat WhatsApp ‘good morning’, ‘good night’ dan ‘I’m sorry’ saja, tapi saya mengharapkan dia datang ke rumah walaupun saya marah atau apa.
“Sebarang isteri, kadang-kadang kita mungkin marah. Tapi, saya memang berharap dia bersungguh-sungguh untuk pujuk saya, bukan setakat WhatsApp saja. Hati saya remuk dan saya berdoa pada Allah agar dia datang sungguh-sungguh untuk pujuk saya. Saya bercakap benar dan Allah mendengar. Allah tahu saya tak tipu. Saya bukan cakap nak selamatkan diri saya saja atau apa,” katanya.
Dalam pada itu, Fattah Amin yang nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, yang melafazkan cerai talak satu terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh berkata beliau reda dengan qada’ dan qadar serta masih sayangkan Fazura sebagai insan yang pernah hadir dalam hidupnya.
“Saya menerima jodoh saya dengan Fazura, namun Allah sudah tetapkan jodoh itu tidak berpanjangan. Saya reda dengan qada’ dan qadar dan saya doakan yang terbaik,” kata Fattah.
Ditanya pemberita sama ada Fattah akan terus berusaha memujuk semula Fazura untuk menyelamatkan rumah tangga mereka, Fattah menjawab,” Pujuk tidak akan menjadi kalau sebelah pihak. Kita usaha macam mana pun tidak akan menjadi. Kena ada usaha kedua-dua belah pihak”.
Menurut Fattah, apa yang paling dikesali dalam perceraian itu adalah nasib anaknya, Nur Fatima kerana beliau tidak sepatutnya menerima situasi yang telah berlaku.
“Fatima tidak sepatutnya menerima keadaan seperti ini dalam umur dia masih empat tahun. Saya kesal dan kesian pada dia. Ketika bercakap mengenai anak, memang saya sedih sebab apabila jumpa dia, memang nampak dia ‘happy’ dengan saya dan dia nak saya balik rumah. Dia nak mommy dan daddy dia.
“Saya terpaksa tipu dia dan saya cakap saya terpaksa keluar dari rumah itu sebab saya kerja. Dia menangis dan tak nak lepaskan saya. Dia tertidur dekat saya. Itu lah benda yang saya kesal kerana saya terpaksa menipu anak saya yang saya kerja,” katanya dalam sebak dan menambah hak penjagaan anak akan diberikan kepada Fazura dan semuanya telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Menafikan bahawa isu curang timbul dalam perceraian mereka, Fattah berkata punca perceraian adalah disebabkan tiada persefahaman dan mereka bersetuju untuk tidak membuka aib masing-masing selain pelalon lelaki itu turut menafikan beliau tidak memberi nafkah selamat empat tahun. – Bernama