KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak telah menahan sebuah bot pancing yang didapati beroperasi tanpa lesen sah.
Menurut Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh, bot tersebut ditahan pada jam 4.14 petang Jumaat lalu, hasil rondaan rutin operasi Op Permai dan Op Tiris di perairan Kuching.
Katanya, bot pancing tersebut ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika Timur Laut Pulau Talang Talang Besar.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 10 pemancing termasuk tekong warga tempatan di atas bot tersebut.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana beroperasi tanpa lesen bot sah dan menggunakan peralatan yang tamat tempoh.
“Vesel yang ditahan telah dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Negeri Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa Maritim Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara, khususnya di perairan Sarawak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan atau berdepan kecemasan di laut disarankan untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak melalui talian 24 jam di 082-432544 atau terus menggunakan talian kecemasan 999.