LIMBANG: Projek pembinaan Hospital Lawas yang dijangka siap Jun tahun depan merupakan satu rahmat kepada penduduk Lawas untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, sebelum ini, pesakit yang ingin mendapatkan khidmat dialisis terpaksa dirujuk ke Hospital Kota Kinabalu dan Hospital Miri selain kekurangan prasarana kesihatan lain.
“Ini memang di tunggu-tunggu supaya dengan siapnya hospital itu disokong dengan pakar-pakar ini akan memberi kemudahan untuk masyarakat kita, sekarang ini lihatlah kadang-kadang ada yang perlu untuk dialisis terpaksa pergi Hospital Kota Kinabalu dan Hospital Miri.
“Ini adalah begitu berat sekali untuk pesakit dan dengan kemudahan itu akan memberi keselesaan sikit dan berkhidmat dengan baik, termasuk di hospital di Limbang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Hari Bukit Mas 2024 di Amphitheatre Tebingan Sungai Limbang, semalam.
Turut sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awang Jinal Abidin Dato Pengiran Jawa, Residen Limbang Yunus Tambi dan kenamaan lainnya.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan berkata, hospital baharu yang amat dinanti lebih 60,000 penduduk Lawas dilengkapi kemudahan lengkap dan dinaik taraf menjadi hospital berpakar minor.
Hospital baharu Lawas apabila siap kelak ia bakal menyaksikan peningkatan sumber manusia yang mendadak dengan pertambahan kakitangan perubatan.
Katanya lagi, kerajaan Sarawak mempunyai pelan strategik untuk membangunkan kawasan berhampiran Lapangan Terbang Limbang dengan kemudahan rekreasi, pusat peranginan berdasarkan kedudukannya yang terletak di Teluk Brunei.
Jelasnya, kawasan tersebut juga amat strategik dan mempunyai pemandangan menarik untuk menyaksikan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien,Temburong Brunei yang juga merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara.
Malah, katanya, projek Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang juga sedang dibina di kawasan berkenaan.
Oleh Adeng Edrus