KUALA LUMPUR: Aplikasi terkemuka di Asia Tenggara, Grab berkata, lebih 10,000 individu telah menyertai ekonomi gig di Malaysia, manakala bilangan peniaga yang mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menokok dua kali ganda setiap bulan antara Mac dan Mei 2020 berbanding sebelum pandemik Covid-19.
Maklumat ini terkandung dalam Edisi Kedua ‘Grab for Good: Social Impact Report’ yang dikeluarkan semalam.
Menurut laporan itu, memandangkan negara sedang mempercepatkan langkah ke arah pendigitalan yang lebih luas, Grab akan memperkenalkan program Grab Digital Small-Biz (GDS) bertujuan membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.
Program ini memiliki alat dan inisiatif yang akan membantu perniagaan fizikal beralih ke dalam talian, serta membantu mereka yang sudah berada di platform Grab mengembangkan keterlihatan dan menyesuaikan operasi mereka ke dunia yang semakin digital.
Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata, perniagaan kecil dan usahawan mikro yang sudah memasuki ke dalam talian menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam hasil mereka melalui platform Grab sepanjang tempoh ini.
Antara Mac dan April 2020, Grab Malaysia telah melancarkan 11 inisiatif bagi menyokong perniagaan kecil, pemacu serta rakan kongsi penghantaran, barisan hadapan termasuk komuniti yang terjejas oleh Covid-19.
Program GDS akan memudahkan sama ada dengan kaedah memberi usahawan sebuah kedai digital dalam platform Grab atau melalui integrasi e-pembayaran.
Antara komponen utama program ini adalah harga GrabExpress yang lebih rendah, sokongan iklan percuma termasuk iklan yang boleh disesuaikan, serta membantu mereka menerima bayaran dalam talian melalui Remote GrabPay Link dan membaiki keterlihatan perniagaan melalui segmen ‘Nearby Merchants’ di aplikasi Grab.
Grab turut bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk menghubungkan usahawan luar bandar dengan ekonomi digital melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi Shop Malaysia Online, DesaMall dan Inisiatif Digital Selangor-Grab.
“Syarikat swasta seperti Grab menggunakan platform dan teknologi untuk mencari jalan bagi membolehkan usahawan kecil mikro atau perniagaan agar terus berlangsung terutama dalam tempoh yang mencabar ini.
“Memang masa hadapan adalah tidak menentu tetapi kita adalah komuniti yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan dan berkembang maju,” kata Goh.- Bernama