KUALA LUMPUR: Kenanga Research menyemak turun unjuran jualan perdagangan edaran Malaysia bagi tahun ini kepada sekitar -2.5 peratus hingga -1.5 peratus daripada -1.5 hingga -0.5 peratus, berikutan jangkaan keadaan ekonomi lebih suram.
Dalam notanya, cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank itu berkata, sebarang peningkatan kukuh tersebut akan ditampan oleh ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kadar pengangguran serta kemungkinan impak lebih buruk sekiranya berlaku gelombang terbaharu jangkitan Covid-19.
Namun dalam tempoh terdekat ini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan dijangka mampu memacu perbelanjaan pengguna.
“Bagaimana pun, kami mengekalkan asas andaian kami bahawa pertumbuhan penggunaan swasta diunjurkan susut kepada 1.5 peratus dalam suku kedua tahun ini yang menyebabkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut ketara dengan jangkaan 7.5 peratus pada tempoh tersebut,” katanya.
Sementara itu, AmBank Research pula menjangkakan jualan edaran itu akan meningkat pada masa depan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan global dilonggarkan secara beransur-ansur selain Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan kos pinjaman lebih rendah.
“Terdapat beberapa bukti berlakunya peningkatan sederhana dari segi perbelanjaan pengguna. Apabila PKP terus dilonggarkan, kemungkinan besar permintaan bagi produk lebih mahal dan pilihan akan turut meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan berasingan. – Bernama