LUBUK ANTU: Penduduk Engkelili dan Batang Ai kini resah dan bimbang setelah mengetahui bahawa Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili dicadangkan sebagai lokasi bagi pusat kuarantin wabak pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang berkata, keresahan itu wajar kerana ramai penduduk merupakan warga tua yang berisiko selain bimbang kerana ramai di kalangan penduduk golongan berusia.
Katanya, sasyarakat sekitar lokasi memang rapat dan sebelum berlakunya krisis Covid-19, kawasan sekitar sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti serta perayaan dan pelbagai mesyuarat di dewan orang ramai.
“Keadaan ini seolah-olah menyalahkan penduduk kawasan tersebut, mereka dihukum dengan tanpa ada perbincangan dan tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.
“Kita amat menitikberatkan soal kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan penduduk di kawasan sekitar yang terlibat dan implikasi psikologi kesan dari pusat kuarantin tesebut amatlah besar,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Jugah berkata, penempatan 20 orang orang yang disyaki (PUI) dan Pesakit di bawah pemerhatian (PUS) di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Ai telah mendatangkan kegusaran masyarakat rumah panjang sekitar memandangkan lokasi tersebut adalah laluan utama ke Ulu Sungai dan kawasan aktiviti penternakan ikan sangkar.
“Seharusnya tindakan menangani bencana wabak pandemik seperti Covid-19 wajar dibawa ke meja rundingan dengan ketua masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen untuk konsensus bersama supaya keputusan terbaik meliputi semua pihak yang terlibat dapat dicapai melalui perbincangan.
“Kita harus mendengar suara dari ketua masyarakat yang mewakili suara rakyat bawahan supaya kita tahu, sedar betapa besarnya keputusan yang dibuat dan keputusan ini juga melibatkan soal nyawa manusia,” jelasnya.
Beliau turut menggesa keputusan meletakan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili sebagai lokasi bagi pusat kuarantin wajar ditarik semua setelah melihat dari sudut kelengkapan perubatan, jumlah pekerja yang terlibat, kepakaran yang bakal memantau pusat kuarantin tersebut amatlah sesuatu menyedihkan dan sukar diterima.
“Adalah tidak wajar Lubok Antu yang bebas dari wabak pandemik Covid-19, tiba-tiba dijadikan tempat kuarantin walhal penduduknya selamat dari wabak tersebut. Ini seolah-olah kita membawa masuk apa yang kita telah hindari,” tambahnya lagi.
Jugah menegaskan, mereka juga bijak menilai bahawa kawasan mereka seolah-olah dijadikan tempat letak ‘bahan buangan’.
“Di sini kita harus melihat nilai-nilai moral kemanusiaan supaya kita lebih bermuhasabah dalam setiap penelitian membuat perancangan dan keputusan.
“Justeru, saya amat berharap agar keputusan meletakkan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batang Ai dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Engkilili sebagai lokasi bagi pusat kuarantin ditarik semua demi mengekalkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat Lubok Antu yang kini masih bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19,” tambahnya.
Sementara itu, ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong berkata beliau telah menerima banyak maklum balas dari penduduk dan berharap pihak berkuasa yang berkaitan akan melihat permintaan rakyat.
“Engkilili adalah sebuah daerah yang kecil dan boleh dengan mudah didedahkan kepada virus ini jika Orang Yang Disyaki (PUI) untuk Covid-19 dikuarantin di pusat tersebut dan sekali positif ia akan sangat berbahaya,” katanya.
Beliau menambah Engkilili tidak mempunyai kemudahan yang cukup dari segi tenaga kerja, kepakaran dan peralatan perubatan terkini termasuk topeng muka yang sangat diperlukan sekarang tidak mencukupi.
“Penduduk di Engkilili dan Lubok Antu masih bebas dari virus ini, dan mereka telah memberikan yang terbaik untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dan kita mesti bertanggungjawab untuk keselamatan rakyat di Engkilili termasuk Lubok Antu,” katanya.