MANILA: Pihak berkuasa Filipina menahan lebih 250 individu kebanyakannya warga China dalam satu serbuan ke atas pusat penipuan dalam talian, di Manila.
Serbuan dijalankan polis bersama pihak berkuasa lain ke atas bangunan berkenaan turut menemukan ratusan telefon bimbit, komputer, kad SIM antarabangsa dan tempatan.
“Ini adalah penipuan ‘love scam’ yang menganiaya warga asing,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Kebimbangan antarabangsa semakin meningkat terhadap pusat penipuan sama di Asia, sering kali dianggotai mangsa pemerdagangan yang ditipu atau dipaksa untuk mempromosikan pelaburan kripto palsu dan penipuan lain.
Julai lalu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos mengharamkan semua bentuk pengendali permainan luar pesisir, termasuk pemegang lesen permainan internet, selepas industri perjudian didapati mempunyai kaitan dengan penipuan kewangan, penculikan, pelacuran, pemerdagangan manusia, penyiksaan dan pembunuhan.
Ribuan pekerja asing di syarikat diharamkan itu diberi tempoh dua bulan untuk meninggalkan Filipina.
Dalam serbuan di Manila semalam, seramai 190 warga China, dua warga Taiwan dan 62 Filipina ditahan di pejabat sebuah syarikat bernama 3D Analyzer Information Technologies Inc.
Syarikat itu sebelum ini mempunyai lesen permainan internet, tetapi kemudiannya memberitahu pengawal selia bahawa ia telah ‘menghentikan operasi’.
“Kami sedang mencari pasport atau visa kerja mereka, tetapi mereka tidak dapat menunjukkan apa-apa kepada kami,” kata Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Anti-jenayah, Gilberto Cruz.
Suruhanjaya itu akan berhubung dengan misi Beijing dan Taipei untuk membantu mengenal pasti serta mengatur proses penghantaran pulang warga asing berkenaan, kata pegawai itu.
Sementara itu, warga Filipina yang didapati terbabit aktiviti penipuan akan didakwa di mahkamah, tambahnya.
Cruz berkata suruhanjaya itu juga akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan waran bagi menggeledah komputer ditemui dalam pejabat. – AFP