PORTO, Portugal: Gol penyamaan Harry Maguire pada masa kecederaan menyelamatkan bos Manchester United, Erik ten Hag daripada satu lagi kekalahan memalukan selepas Red Devils mensia-siakan kelebihan 2-0 sebelum seri 3-3 di FC Porto pada aksi Liga Europa awal pagi tadi.
Marcus Rashford dan Rasmus Hojlund memberikan pelawat permulaan impian dengan dua gol dalam tempoh 20 minit pertama.
Namun dua gol menerusi Samu Omorodion, selepas Pepe merapatkan jurang buat Porto pada perlawanan itu, menyaksikan kelab gergasi Inggeris itu berada di ambang kekalahan.
United kemudian beraksi 10 pemain apabila kapten Bruno Fernandes dibuang padang bagi perlawanan kedua berturut-turut, tetapi mereka berjaya mengikat lawan apabila Maguire melonjak tinggi untuk menanduk masuk susulan sepakan sudut pada minit ke-91.
Anak buah Ten Hag kini memulakan kempen Liga Europa mereka dengan dua keputusan seri berturut-turut selepas diikat di laman sendiri oleh FC Twente minggu lalu untuk menghuni tangga ke-21 dalam carta 36 pasukan.
“Kami memulakan perlawanan dengan amat bagus, kami mendominasi, menjaringkan dua gol yang bagus tetapi kemudian kami hilang kawalan,” kata Ten Hag. “Bahagian pertengahan (perlawanan) tidak bagus.”
Bekas bos Ajax itu mempertahankan rekodnya selepas menang Piala Liga dan Piala FA dalam dua musim pertama kendaliannya di Old Trafford – sekali gus menamatkan kemarau enam tahun United menjulang trofi.
Ten Hag menegaskan beliau seharusnya dinilai pada hujung musim.
“Kami akan berada di sana, jangan menilai kami ketika ini,” katanya.
“Nilai kami pada hujung musim. Kami akan meningkat, kami mempunyai dua musim yang mana kami layak dua final. Hanya tunggu, kami akan berkembang dan memajukan pasukan ini.” – AFP