ISTANBUL: Harga minyak meningkat ekoran konflik serantau yang lebih meruncing di Asia Barat, lokasi sebahagian besar rizab minyak dunia, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan aliran minyak mentah, lapor Anadolu Agency.
Penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent meningkat sebanyak 1.26 peratus kepada AS$74.83 setong pada jam 11.01 pagi waktu tempatan (0801 GMT), melonjak daripada AS$73.90 ketika ditutup pada sesi sebelumnya.
Penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI), meningkat 1.4 peratus kepada AS$71.08 setong selepas ditutup pada AS$70.10 pada sesi sebelumnya.
Pertempuran antara Israel dan Lubnan dijangka semakin sengit selepas tentera Israel mengumumkan serangan darat ‘terhad dan setempat’ di selatan Lubnan.
Harga minyak melonjak kelmarin selepas Iran, pengeluar utama dan ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu balistik ke Israel.
Bagaimanapun, data dari Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS yang dikeluarkan lewat semalam membatasi kenaikan pergerakan harga, meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan.
Inventori minyak mentah komersial AS meningkat kira-kira 3.9 juta tong pada minggu berakhir 27 September berbanding unjuran pasaran penurunan sebanyak 1.5 juta tong.
Inventori petrol juga meningkat sekitar 1.1 juta tong dalam tempoh yang sama.
“Peningkatan inventori AS menunjukkan bahawa pasaran menerima bekalan yang baik dan boleh menahan sebarang gangguan,” kata Pakar Strategi Komoditi Australia and New Zealand Banking Group, Daniel Hynes dalam satu nota e-mel. – BERNAMA-ANADOLU