KUCHING: Lebih 40, 000 penjawat awam berisiko tinggi mengalami isu kesihatan psikologi yang memerlukan intervensi segera bagi mengelak daripada menghidapi kecelaruan mental menurut satu kajian.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata dapatan kajian tersebut adalah melalui Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang telah dilaksanakan sejak 1 Mac lalu.
Oleh itu katanya, penganjuran Program Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Psikologi (ICOPW2024) dianjurkan bagi membantu dalam meningkatkan produktiviti penjawat awam ke tahap optimum dengan penekanan khusus kepada tahap kesihatan mental pekerja.
“Persidangan ini menyediakan platform perkongsian untuk membuka ruang kepada penjawat awam, ahli akademik pelbagai agensi, jabatan, universiti dalam dan luar negara untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, dan amalan terbaik bagi meningkatkan kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental.
“Justeru, perkhidmatan psikologi dalam aplikasi sumber manusia dan perkembangan ilmu psikologi dapat
dimanfaatkan selain kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan holistik dan kualiti kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Persidangan Antarabangsa Kesejahteraan Psikologi, di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.
Program ini juga dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berlangsung hari ini dan esok.
Dalam pada itu beliau berkata, program ini bertepatan dengan hasrat Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk mewujudkan Garis Panduan Pembudayaan Keseronokan Bekerja Perkhidmatan Awam selaras dengan Budaya Keseronokan Bekerja sebagai Strategi Keberhasilan Reformasi 4 (SKR 4) dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030.
Bagaimanapun katanya, keputusan kajian Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia (IKPM) yang dijalankan dalam perkhidmatan awam menunjukkan bahawa tahap kesejahteraan psikologi penjawat awam masih lagi pada tahap sederhana.
Oleh itu katanya, pelbagai inisiatif akan dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap kepentingan kesejahteraan mental dan fizikal dalam perkhidmatan awam.
“Perkongsian ilmu berkaitan pembangunan kendiri seperti Kesejahteraan Holistik, Literasi Kesihatan Mental, Psychological First Aid (PFA), pengurusan emosi, saringan kesejahteraan, intervensi psikologi dan sokongan organisasi perlu dipergiatkan untuk memastikan kesejahteraan penjawat awam dapat dipelihara dan dikekalkan pada tahap optimum.
“Antara inisiatif terkini kerajaan untuk meningkatkan program pencegahan tingkah laku berisiko adalah melalui MyPsyD yang dilaksanakan sejak 1 Mac 2024 secara berperingkat ke seluruh agensi kerajaan di negara ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NOOR IKMAL