PARIS: TADEJ Pogacar menambah gelaran perlumbaan lebuh raya dunia kepada kemenangan Tour de France dan Giro d’Italia kelmarin untuk menjadi lelaki pertama sejak 1987 memenangi tiga mahkota berganda berbasikal pada musim yang sama.
Pelumba Slovenia berusia 26 tahun itu memenangi perlumbaan 273km mengelilingi Zurich dalam masa 6 jam 27 minit 30 saat, dengan Ben O’Connor dari Australia ketinggalan 34 saat dan pakar sehari dari Belanda, Mathieu van der Poel di tempat ketiga dengan 58 saat.
Pogacar menulis dirinya dalam buku sejarah dengan serangan jarak jauh yang tidak biasa, jarang dilihat pada tahap ini, untuk menyertai Stephen Roche dari Ireland pada 1987 dan Eddy Merckx dari Belgium pada 1974 sebagai juara tiga mahkota lelaki.
Annemiek van Vleuten mencapai tiga gelaran berganda wanita pada 2022.
Selepas kemenangannya, Pogacar mengimbas kembali kematian pelumba basikal Switzerland, Muriel Furrer, 18 tahun, yang terjatuh ketika bertanding dalam perlumbaan lebuh raya junior.
“Ia adalah satu tragedi, pertama sekali jelas untuk keluarga dan orang tersayangnya, untuk pasukan Switzerland, tetapi juga untuk seluruh komuniti berbasikal,” kata warga Slovenia itu pada sidang akhbarnya.
“Hujung minggu ini, semua orang berlumba-lumba memikirkannya.
“Berbasikal adalah sukan yang berbahaya dan semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia terlalu kerap berlaku .
“Kita perlu lebih berhati-hati di jalan raya, fikir antara satu sama lain ketika bersama peloton, saling menjaga, menghormati antara satu sama lain,” tambahnya.
Dalam perlumbaan itu, Pogacar menyerang dengan pecutan yang tiba-tiba dan tidak terjawab sejauh 100km, dengan rakan sepasukan dari Slovenia, Jan Tratnik berundur dari kumpulan yang menjaakkan diri untuk menemaninya ke depan perlumbaan – kedudukan yang dia tidak akan lepaskan.
Mana-mana perlumbaan dengan Pogacar, Van der Poel dan juara berganda Olimpik, Remco Evenepoel boleh dijangka sengit dan ini terbukti berlaku.
Pogacar melangkau Sukan Olimpik untuk menyasarkan mahkota berganda ketiga, yang dimeterainya dengan kemenangan ini sepanjang 273km yang sesuai dengannya dengan pendakian yang pendek.
Van der Poel berkata dia berbangga dengan persembahannya.
Juara dunia 2020 dan 2021 Julian Alaphilippe terjatuh dan terkehel bahunya selepas sejam, manakala pelumba lain yang menjadi pilihan seperti Mikel Landa dari Sepanyol dan Mattias Skjelmose dari Denmark tercicir. – AFP