KAPIT: Ungkapan keramat Tun Jugah Barieng ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ kini masih manis, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, hari ini tebu lebih manis lagi dengan apa yang dipinta dan diumum oleh Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menerusi penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
“Kita percepatkan pembangunan di sini. Saya nampak masa depan yang cerah,” katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Kapit, hari ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama tokoh veteran Tan Sri Leonard Linggi Jugah iaitu anak kepada Tun Jugah.
Abang Johari berkata, semangat berpandangan jauh mendiang Tun Jugah telah menjadi tokoh penting yang telah berjuang untuk memerdekakan Sarawak dan membawa kepada penubuhan Malaysia.
Katanya, apabila cadangan Malaysia diuar-uarkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, rantau ini berkocak atau perang dingin di antara ideologi yang ada ketika itu.
“Pemimpin kita mencari jalan bagaimana untuk selamatkan kita daripada perang dingin dan mereka sahut seruan Tunku Abdul Rahman tetapi di samping itu pertahankan hak kita.
“Hendak bebas pemimpin kita menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di London, menjadi ‘bible’ untuk menguatkan negara Malaysia,” katanya.
Ini, katanya, termasuk Anwar Ibrahim kerana melaksanakan apa yang telah dijanji diantara pemimpin dalam menubuhkan negara Malaysia.
“Terima kasih tuan atas pemerkasaan melalui MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), katanya.
Abang Johari mengucapkan selamat datang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kapit.
“Sebenarnya Anwar Ibrahim selalu datang ke Sarawak dan Sabah serta datang dengan tidak tangan kosong dan mungkin juga ada di Kapit,” ujarnya.
Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING