KAPIT: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah hakisan tebingan sungai di Rh Robert, Nanga Sebatu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan itu semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di rumah panjang tersebut, hari ini.
“Dalam perjalanan tadi, saya tengok ada sungai, sungai ini pula ada hakisan yang menjejaskan kawasan rumah panjang termasuk Rh Robert ini.
“Saya terus telefon Kementerian Kewangan untuk bantu sedikit lagi, bila umum saya check (periksa) dulu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit yang baharu dilengkapi dengan kemudahan kediaman selesa dibangunkan untuk menjaga keselamatan di kawasan itu.
“Tadi saya bersama Premier (Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) pergi ke tempat yang kita bangunkan IPD Kapit yang baharu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerjasama antara Sarawak dan Persekutuan adalah untuk rakyat dan sebab itu beliau datang ke Sarawak.
“Kita tahu bahawa soal luar bandar, pedalaman ini seperti jalan, jambatan dan kemudahan-kemudahan asas, dan sebab itu kerajaan keseluruhannya iaitu Sarawak dan Persekutuan mesti terus beri tumpuan.
“Negeri maju bawa pelaburan, negeri mesti stabil, aman orang luar tengok ini baik,” kata beliau.
Atas sebab itu, katanya, mereka yang telah diberikan kepercayaan dan amanah mesti turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat.
“Orang pegang amanah mesti turun ke bawah lihat sendiri dan rasakan masalah rakyat itu masalah kita,” katanya.
Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN dan TARANI LANTING