MIRI: Kerajaan Sarawak memberi komitmen sekurang-kurangnya RM8 bilion untuk projek pembinaan jalan raya di wilayah Miri bagi menghubungkan seluruh kawasan pedalaman.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan tanpa tol menghubungkan Miri ke Marudi kini dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
“Sebaik sahaja jambatan itu siap, Marudi akan dihubungkan dengan semua kawasan pedalaman, sehingga ke Long Terawan di hujung paling jauh berhampiran Mulu. Ini memerlukan pelaburan lebih RM2 bilion dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.
“Jalan itu akan memanjang ke arah Limbang, memintas Miri melalui Brunei.
“Kami telah membincangkan perkara ini dengan Sultan Brunei. Walaupun projek ini dikecualikan dari Lebuh Raya Pan Borneo, kami memaklumkan kepada Sultan bahawa Sarawak akan meneruskan pembinaan jalan dari Miri melalui Brunei ke Limbang dan Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis jamuan negeri sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di sebuah hotel di sini malam tadi.
Abang Johari berkata projek itu, yang pada mulanya digugurkan pada 2022 di bawah Kerajaan Persekutuan terdahulu, kini telah diambil alih oleh Sarawak untuk meningkatkan ketersambungan dan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Brunei.
Katanya, rangkaian jalan raya dari Limbang ke Lawas, di bawah inisiatif jalan pantai Agensi Pembangunan Wilayah Utara, memerlukan tambahan RM6 bilion dalam pembiayaan.
“Kesemua projek ini dibiayai oleh kerajaan Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur dan menambah baik hubungan antara Miri dan Brunei Darussalam.
“Saya ketengahkan perkara ini supaya Perdana Menteri memahami beban kewangan Sarawak. Bagaimanapun, kita mesti bekerjasama untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di wilayah utara. Apabila jalan raya siap, kita juga akan memastikan bekalan air dan elektrik di sepanjang jalan,” katanya.
Beliau berkata Baram yang sebesar negeri Pahang juga akan mendapat manfaat daripada penambahbaikan ini.
Abang Johari menekankan kepentingan rancangan jangka panjang untuk membangunkan infrastruktur di wilayah selatan, khususnya menghubungkan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, dekat Pontianak.
“Dengan peningkatan hasil, kami memberi kembali kepada rakyat dengan meningkatkan infrastruktur di rantau ini,” katanya.
Dengan kestabilan, beliau melahirkan harapan agar Sarawak akan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya apabila negara menunjukkan tanda-tanda pemulihan hasil daripada politik yang stabil dan hala tuju ekonomi yang jelas.
“Saya memberi jaminan kepada anda, Sarawak akan terus berkongsi kekuatannya dengan Malaysia, dan kami berharap Kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pembangunan di rantau ini,” tambahnya.