MALUDAM: Penganjuran ‘Maludam Explore Race’ perlu diperluaskan ke peringkat antarabangsa dengan melibatkan penyertaan peserta dari luar negara.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata penganjuran itu perlu diangkat sebagai salah satu produk pelancongan utama di negeri ini.
Beliau berkata sudah masanya aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya membantu merancak dan meningkatkan pendapatan ekonomi masyarakat dari segi pelancongan itu diangkat dengan lebih tinggi selepas ini.
“Dengan kerjasama semua pihak seperti wakil rakyat, pegawai daerah, agensi kerajaan, ketua kaum dan ketua masyarakat (KMKK) tiada masalah untuk kita mempertingkatkan lagi penganjuran Maludam Explore Race ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Maludam Explore Race di pekarangan Pasar Baru Maludam dekat sini semalam.
Len berkata Taman Negara Maludam berkeluasan 53,568 hektar adalah merupakan Taman Negara terbesar jenis hutan paya gambut.
“Tiada lagi kawasan di Sarawak ini mempunyai jenis hutan paya gambut, Taman Negara Maludam boleh disifatkan sebagai lubuk khazanah alam cukup berharga yang patut dipelihara agar dapat ditatap oleh generasi akan datang.
“Dianggarkan sebanyak 420 flora dan fauna yang pelbagai boleh dijumpai di Taman Negara Maludam yang berkeluasan 53,568 hektar dengan sempadan sepanjang 105 kilometer,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata sebanyak 131cpeserta daripada 35 kumpulan terlibat penganjuran Maludam Explore Race 2.0 yang dianjurkan pada tahun ini.
Beliau berkata penganjuran pada edisi pertama tahun lalu telah memperlihatkan impak besar apabila ia mampu meningkatkan ekopelancongan yang ada di kawasan terbabit terutamanya sosioekonomi komuniti di kawasan tersebut.
“Penganjuran Maludam Explore Race ini mampu menarik kehadiran pengunjung untuk berkunjung ke Maludam terutamanya ke Taman Negara Maludam, sekali gus dapat merasai keunikan dan keindahan alam semula jadi serta budaya setempat kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN