TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak amat serius dalam membangunkan prasarana yang mencantikkan Pantai Belawai, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah katanya, beliau telah memberi nama ‘Belawai Beach’ sebagai satu nama rasmi merujuk kepada Pantai Belawai.
“Semua wakil rakyat kawasan ini sedia maklum bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan secara berperingkat sejak 2014 untuk membangunkan Pantai Belawai seperti mana yang kita lihat pada pagi ini.
“Saya ingin memaklumkan pembangunan Pantai Belawai ini tidak terhenti setakat ini, yang terbaharu kerajaan meluluskan projek pembangunan pantai pelancongan di Belawai bernilai RM161 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh pada majlis penangguhan Pesta Belawai 2024, hari ini.
Abang Johari berkata, apabila projek tersebut siap dilaksanakan, Pantai Belawai akan menjadi pantai yang cantik, lengkap dengan pelbagai kemudahan yang boleh menarik lebih ramai pengunjung.
“Sistem perhubungan jalan raya yang menghubung Daerah Tanjung Manis dalam Bahagian Mukah kepada bahagian lain seperti Sibu dan Sarikei akan lebih mudah apabila projek jambatan seperti Jambatan Igan, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Paloh dan Jambatan Pasi Sarikei, sekadar menyebut beberapa projek jambatan yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak akan merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi.
“Bagi merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan Daerah Tanjung Manis perlu sediakan produk pelancongan yang dapat menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Salah satunya adalah penganjuran pesta yang mengenengahkan keindahan pantai dengan aktiviti-aktiviti yang menarik,” katanya.
Katanya,Tanjung Manis khususnya Belawai terkenal dengan lautnya.
“Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah menanam tukun tiruan di kawasan perairan di luar Pantai Belawai pada 2018 sebagai tempat pembiakan ikan.
“Pertandingan memancing ikan di laut dalam boleh dijadikan satu produk perlancongan.
“Penduduk tempatan yang rata-ratanya merupakan nelayan dapat menjana pendapatan dengan menyewa bot-bot mereka kepada pemancing untuk tujuan ini,” tambahnya.
Di samping itu, katanya, Daerah Tanjung Manis seperti daerah lain di Sarawak mempunyai sungai yang begitu banyak dan produk pelancongan dapat dicipta dengan mengadakan River Cruise untuk melihat hidupan liar di sepanjang sungai atau menjalankan aktiviti memancing dan sebagainya.
“Perlu diingatkan bahawa, apabila produk-produk pelancongan ini ada, Daerah Tanjung Manis perlu menyediakan tempat kediaman untuk para pelancong.
“Dengan ketiadaan hotel di daerah ini, pengusaha homestay yang sedia ada perlu diberikan latihan dan didaftarkan dengan Kementerian Pelancongan dalam mengendalikan inap desa (homestay).
“Secara umumnya saya melihat Daerah Tanjung Manis mempunyai potensi yang sangat besar untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelacongan.
“Agensi kerajaan seperti Pejabat Residen Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Tanjung Manis, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) perlu berganding bahu dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk menerokai dan membangunkan sektor pelancongan di daerah ini,” katanya.
Di majlis tersebut, beliau turut melancarkan Kamus Bahasa Melanau Ajang, melancarkan Sarawak Croc Watch App dan buku “Framework Methods and Stockholders’ Engagement for Rewinding”, menyerahkan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak bagi Muara Jerijih, Tanjung Manis, Mukah dan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kampung Tradisional Kampung Rajang dan Skim Pembesaran Kampung Jerijih.
Turut hadir ialah isteri Datuk Len Talif Salleh, Datin Asiah Awai; Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab; Residen Bahagian Mukah, Kueh Lei Poh; Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran; Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Informations System SDN BHD (SAINS), Busiai Seman dan Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta Belawai 2024, Ismail Kasah.
Oleh Earl Anek