WOLVERHAMPTON: Mohamed Salah memacu Liverpool ke tangga teratas Liga Perdana apabila sepakan penalti bintang Mesir itu mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Wolves yang sedang bergelut awal pagi tadi.
Salah menjaringkan gol pada separuh masa kedua selepas Rayan Ait Nouri menyamakan gol pembukaan Ibrahima Konate untuk Liverpool.
Pasukan Arne Slot memenangi lima daripada enam perlawanan liga mereka musim ini dan berada satu mata di depan Manchester City di tempat kedua yang terikat 1-1 di Newcastle lewat malam tadi.
Slot menegaskan minggu ini bahawa Liverpool belum membuktikan diri mereka sebagai pencabar gelaran, tetapi pengendali Belanda itu memberi impak yang besar pada awal era pasca Jurgen Klopp di Anfield.
Sejak kekalahan mengejut di tempat sendiri kepada Nottingham Forest, The Reds meraih empat kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Peminat Liverpool berkerumun di sebelah Molineux melaungkan nama Slot dengan kuat pada minit-minit terakhir meraikan kemenangan terbaru mereka.
Pengurus berusia 46 tahun itu menjadi perancang dalam salah satu permulaan terbaik dalam sejarah pengurusan Liverpool. Jika mereka terus bermain pada tahap ini, pastinya Slot akan muncul sebagai pencabar gelaran.
Satu-satunya kebimbangan bagi Slot ialah kecederaan yang dialami Andrew Robertson pada lewat perlawanan yang memaksa bek kiri Scotland itu dikeluarkan.
“20 minit pertama tidak begitu baik. Ia adalah permulaan yang sangat sukar bagi kami tetapi akhirnya kami mengawal permainan dan menjaringkan gol pertama.
“Wolves mempunyai pelan permainan yang sangat baik untuk setiap lawan dan ia juga berlaku untuk kami. Sentiasa menggembirakan untuk menang, terutamanya di tempat lawan,” kata Slot.
Liverpool, yang kali terakhir memenangi kejuaraan pada 2020, melayan kunjungan Bologna dalam perlawanan kedua Liga Juara-Juara Rabu ini sebelum bertandang ke Crystal Palace pada hujung minggu depan.
Tanpa kemenangan dan tercorot dalam carta liga, Wolves semakin lemah oleh masalah yang merobek skuad mereka minggu ini.
Memandangkan keadaan mereka yang teruk, pasukan Gary O’Neil bersaing dengan penuh semangat pada separuh masa pertama.
Percubaan Matheus Cunha menguji Alisson Becker yang kembali dalam skuad utama selepas kecederaannya.
Namun, penjaga gol Wolves, Sam Johnstone, bagaimanapun berjaya melakukan penyelamatan menyekat percubaan dekat Dominik Szoboszlai dari hantaran Robertson. – AFP