PETRA JAYA: Kontinjen Sarawak secara rasmi dinobatkan sebagai juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXI pada majlis penutupan yang berlangsung di Stadium Perpaduan, di sini malam ini.
Pengumuman ini mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar sukan para negara setelah berjaya meraih sejumlah 82 emas, 53 perak, dan 73 gangsa.
Kejayaan ini menandakan kepulangan Sarawak sebagai juara keseluruhan selepas tewas kepada Sabah pada edisi 2022.
Chief De Mission Kontinjen Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, menjunjung piala kejuaraan Para SUKMA menandakan gelaran juara itu dengan rasminya milik Sarawak.
Kemenangan Kontinjen Bumi Kenyalang yang disifatkan ‘run away champion’ ini juga merupakan satu pencapaian yang membanggakan selepas jauh meninggalkan negeri jiran, Sabah di tempat kedua dengan jurang 20 pingat emas.
Skuad Negeri Di Bawah Bayu itu memperoleh 62 emas, 42 perak dan 31 gangsa, membuktikan dominasi kedua-dua negeri borneo ini dalam Temasya Para SUKMA, selepas meninggalkan Johor dengan 29 perbezaan emas.
Johor kali ini berjaya meraih 33 emas, 34 perak dan 19 gangsa.
Komintmen Sarawak dalam memartabatkan sukan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) ini terserlah dengan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti ketika ditemui pemberita menyatakan bahawa, usaha untuk menjuarai Temasya Para SUKMA 2026 akan bermula esok.
“Seperti apa yang cikgu Matthew katakan, persediaan dan latihan untuk Para SUKMA 2026, bermula esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara penyerahan anugerah kepada para media di Pusat Media Utama Para SUKMA, di Pusat Akuatik Pendelela Rinong, di sini, hari ini.
Acara olahraga, renang dan angkat berat menjadi penyumbang utama kejayaan kontinjen Sarawak, dengan beberapa atlet berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan sepanjang temasya berlangsung.
Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Laungan semangat ‘agi idup, agi ngelaban’ untuk kedua-dua temasya SUKMA dan Para SUKMA ternyata berhasil meniup semangan para atlet dengan Sarawak menjuarai kedua-dua temasya tersebut.
Kontinjen Bumi Kenyalang sebelum ini menunjukkan dominasi dalam temasya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak.
Ini amat berbeza dengan SUKMA 2024 bulan lalu, apabila Sarawak bersaing hebat dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga detik terakhir dengan kemenangan berpihak kepada tuan rumah, melalui perbezaan cuma satu pingat emas.
Majlis penutupan juga menyaksikan pengumuman Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita Para SUKMA XXI, sebagai penghargaan kepada prestasi luar biasa yang ditunjukkan oleh atlet-atlet sepanjang temasya ini
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL