GEORGE TOWN: Selepas 14 tahun, Bangsawan Mestika Bumi kembali ke pentas teater dengan menampilkan beberapa kelainan bagi menarik penonton daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak.
Pementasan hasil sentuhan kreatif pengarah Halimi Mohamamed Nor yang juga bekas pensyarah Bahagian Lakonan dan Pengarahan, Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) itu dibarisi pelakon teater Norhelmi Othman dan Juliana Madil sebagai peneraju utama, serta penampilan istimewa pelakon vateran Zulkifli Ismail yang memegang watak sebagai raja kayangan.
Menurut Halimi, antara pembaharuan yang ditampilkan pada persembahan kali ini termasuk aksi pertarungan yang diadun seolah-olah permainan video bagi menarik perhatian penonton kanak-kanak.
“Uji kaji ini menampakkan hasil apabila kita lihat mereka suka, dan ini merupakan satu cara untuk kita bawa mereka mengenali dan meminati teater bangsawan.
“Selain itu, kumpulan muzik turut memainkan peranan penting kerana muzik dan lakonan memerlukan satu gabungan yang hebat. Ditambah dengan adanya teknologi hari ini yang banyak membantu, menjadikan teater ini lebih berwarna-warni dari segi tarian, nyanyian. Teater ini penuh dengan cerita-cerita berbentuk romantis, jenaka dan sedikit elemen suspens dan pertarungan,” katanya kepada pemberita selepas persembahan itu, semalam.
Hilmi berkata, teater hasil kolaborasi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang, Penang Bay Art, Dewan Budaya serta Pusat Pengajian Seni USM itu menjalani latihan selama enam bulan termasuk latihan intensif sejak sebulan lepas, bagi memastikan kelancaran persembahan yang melibatkan keseluruhan 98 orang kru termasuk pelakon.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN Mohd Radzi Omar berkata, sambutan penonton pada malam pertama pementasan dilihat amat menggalakkan, sekali gus membuktikan industri teater semakin diminati.
Beliau berkata pelbagai kesan visual teknologi kreatif dan digital telah memberikan kejutan dan pengalaman baharu kepada penonton, di samping mesej tersirat melalui dialog yang diucapkan secara berirama dan puitis, menjadikan persembahan itu sebuah karya seni menghiburkan.
“Pementasan bangsawan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat, khususnya generasi baharu, bagi mengenali dan menjiwai seni warisan bangsa sendiri. Sejarah bangsawan yang unik kerana menempuh zaman jatuh dan bangun perlu diambil iktibar dan dijadikan sandaran bagi menggerakkan produksi teater Malaysia secara lebih terarah dan dinamik.
“Justeru, saya berharap agar teater seperti ini dapat dirancakkan lagi sebagai satu hiburan bermanfaat, khususnya buat masyarakat di negeri ini,” katanya.
Teater Bangsawan Mestika Bumi berlangsung di Dewan Budaya USM selama tiga hari. – Bernama