KUALA LUMPUR: Selepas bergelar naib juara dan merangkul anugerah persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) Mac lepas, Aisha Retno terus unggul mengukuhkan namanya dalam industri muzik tanah air dan baru-baru ini muncul dengan single berjudul Samudera.
Aisha Retno atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, berkata, lagu berkenaan cukup istimewa kerana selain mengisahkan perjalanan karier seninya sejak enam tahun lepas, ia juga menggabungkan seni budaya keluarganya iaitu kesenian Kelantan.
“Inspirasi (lagu) 100 peratus daripada ayah saya yang berasal dari Besut, Terengganu. Mungkin ada yang tahu, Besut ini bersempadan dengan Kelantan dan Terengganu, tetapi keluarga saya lebih kepada (budaya) Kelantan. Oleh itu, kami menyuntik seni Kelantan dalam lagu terbaharu ini.
“Selain itu, saya juga memberi penghargaan kepada warisan kesenian Kelantan seperti mak yong dan dikir barat kerana menyempurnakan lagu ini,” katanya di majlis pelancaran lagu Samudera baru-baru ini.
Menurut peserta Big Stage musim keempat itu lagi, dia turut mendedikasikan lagu Samudera kepada kaum wanita dengan penceritaan lagu yang diinspirasikan daripada kisah legenda Cik Siti Wan Kembang melalui mesej positif bagi memberi semangat kepada pendengar.
Kisah pemimpin wanita legenda itu, katanya, menarik perhatian terutama tentang kekuatan cinta Cik Siti Wan Kembang terhadap negeri Kelantan walaupun ramai lelaki cuba menawan hatinya.
“Melalui penceritaan ini, saya menyedari bahawa cinta bukan sekadar tentang hubungan romantis, tetapi juga melibatkan kecintaan terhadap tempat asal dan warisan kita, selain lagu ini juga simbolik kepada apa yang saya sendiri lalui apabila tahun ini, saya melalui banyak cabaran dan pada masa sama banyak juga rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.
“Semua cabaran dan rezeki yang diperoleh ini saya anggap seluas samudera, sebab itulah lagu ini sangat bermakna untuk saya kerana setiap lirik yang ditulis, kisahnya dekat dengan saya,” katanya.
Ditanya mengenai proses penghasilan lagu berkenaan, Aisha mengakui proses tersebut bukanlah satu perkara mudah kerana perlu mempelajari budaya Kelantan dengan bersungguh-sungguh.
Dia juga terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membuat perbincangan terutamanya dalam penghasilan lirik yang diinspirasikan daripada kisah hikayat tersebut.
“Pada saya, proses menulis lagu Samudera kali ini jauh lebih sukar berbanding menulis lagu Sutera dahulu. Semuanya harus dihasilkan dengan penuh teliti lagi pun budaya Kelantan, seninya agak berat dan perlu difahami dengan baik.
“Namun begitu, alhamdulillah, lagu ini dapat juga disiapkan dan dihasilkan pada Julai lalu dan kami ambil masa lebih kurang tiga minggu untuk menyempurnakannya,” katanya.
Kongsinya lagi, dia menukilkan lagu ini bersama Glowrush, Shanekennedy, Karazey, dan ayahnya sebagai penasihat daripada segi lirik yang menggunakan perkataan Kelantan.
Manakala untuk lontaran vokal,dia berguru dengan Rosnan Rahman yang membantu dan mengajar untuk melontarkan vokal dalam nyanyian mak yong dengan cara yang betul.
Dalam perkembangan lain, Aisha Retno memaklumkan dia bakal membawakan lagu terbarunya ini di konsert sulung ‘Malam Sutera Live in Concert’ pada 16 November depan di Zepp Kuala Lumpur.
– Bernama