KUCHING: “Kita harus terima hakikat dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) namun jangan letakkan kita di standard kedua selepas orang biasa,” kata Siti Safura Jaapar, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bioinformatik yang membawa pulang tiga pingat pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024.
Siti Safura, 41, yang mewakili Negeri Sembilan dalam catur mula berkecimpung dalam sukan itu seawal usia enam tahun bersyukur atas perjalanan hidupnya yang tersusun, baik dari segi peribadi mahupun kerjaya.
Beliau berkata walaupun mengalami penyakit genetik spinal muscular atrophyyang memerlukannya bergerak menggunakan kerusi roda sejak kecil, hal itu tidak pernah menghalangnya untuk berimpian besar malah wanita itu pernah mengajar di Fakulti Farmasi di Universiti Teknologi MARA Puncak Alam dari 2010 hingga 2014.
“Saya mula bermain catur pada usia enam tahun dan mula serius ketika di sekolah menengah sehingga menjadi wakil daerah. Namun, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya berhenti bermain catur selama 12 tahun untuk fokus kepada pelajaran.
“Segalanya berubah apabila saya bertemu sebuah keluarga yang meminta saya memberikan galakan kepada anak mereka, yang juga OKU. Kebetulan pada waktu itu, ada pencarian bakat baharu untuk Paralimpik dan saya mula disunting oleh pasukan Melaka untuk Para SUKMA,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hotel Raia di sini hari ini.
Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata walaupun sukan catur tidak sepopular bola sepak, ia masih memerlukan komitmen tinggi dan kos yang besar kerana jarang mendapat tajaan.
Menurutnya kehidupannya sebelum ini yang bersekolah di aliran biasa dan bukan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) membantunya untuk sentiasa yakin dengan kebolehan diri sendiri selain menjadikan peribahasa “di mana ada kemahuan di situ ada jalan” sebagai pegangan.
Siti Safura membawa pulang pingat perak acara kategori standard P1 (kecacatan fizikal) perseorangan wanita dan standard P1 (kecacatan fizikal) berpasukan wanita serta pingat gangsa rapid P1 (kecacatan fizikal) berpasukan wanita.
Ini adalah penampilan kali keempatnya pada temasya dwitahunan itu selepas Melaka pada 2012, Perak 2018 dan Kuala Lumpur 2022. — BERNAMA