KUCHING: Kontinjen tuan rumah Para Sukan Malaysia (SUKMA) kini secara teknikal sah merampas semula kejuaraan Para SUKMA selepas mencapai 82 pingat emas, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Sabah yang setakat petang ini memperoleh 62 emas.
Pada hari terakhir esok, hanya tinggal 10 emas menjadi taruhan, pada acara boling padang, manakala tuan rumah kini sudah meninggalkan juara bertahan Sabah dengan 20 emas.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika dihubungi Utusan Sarawak berkata walaupun Sabah memenangi semua baki emas esok, negeri jiran itu masih tidak dapat mengejar jumlah pungutan pingat Sarawak.
“Kita tidak banyak lagi acara yang tinggal. Hanya tinggal tenpin boling dan boling padang untuk hari ini, dan beberapa acara boling padang esok.
“Walaupun pesaing terdekat kita, Sabah, menang, saya berpendapat kita masih mendahalui.
“Sekarang ini, kita berusaha memberi semangat kepada atlet boling padang kita agar boleh mencapai sasaran kita 83 emas,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ‘Chef de Mission’ (CDM) Kontinjen Para SUKMA Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, berkata pengumuman rasmi dibuat esok.
Ketika ditanya sama ada Sarawak sudah boleh diisytiharkan juara keseluruhan Para SUKMA 2024, beliau menjawab: ‘Ya… tetapi tidak rasmi (lagi).
Emas ke-82 dihadiahkan oleh trio tenpin boling Sarawak dalam kategori berpasukan tiga terbuka yang berlangsung di Megalanes Bowling Emart Batu Kawa, di sini, hari ini.
Pencapaian ini sekali gus meletakkan Sarawak di kedudukan selesa di puncak pungutan pingat dengan jauh meninggal Sabah.
Ini bermakna, Sarawak bakal dinobatkan juara untuk kali ke-14 secara rasmi pada acara penutup Para SUKMA 2024 malam esok.
Kontinjen Bumi Kenyalang sebelum ini menunjukkan dominasi dalam temasya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak.
Ini amat berbeza dengan SUKMA 2024 bulan lalu, apabila Sarawak bersaing hebat dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hingga detik terakhir dengan kemenangan berpihak kepada tuan rumah, melalui perbezaan cuma satu pingat emas.
Oleh SHAHRUL QAIZAT