KUCHING: Atlet angkat berat Sarawak, Mohamad Fuad Elen, menutup penyertaannya di Para SUKMA dengan pingat emas, namun rasa sedih menyelubungi kerana ia merupakan temasya terakhir baginya.
Atlet berusia 45 tahun itu berjaya menyumbang dua pingat emas dalam kategori bawah 59 Kilogram (kg) powerlifting, hari ini.
Beliau telah menyertai temasya tersebut selama 30 tahun sejak debutnya pada 1994, kini terpaksa berundur kerana had umur peserta yang ditetapkan ialah 45 tahun.
Atlet yang berasal dari Kampung Paya Mabi, Jalan Landeh itu mengakui bahawa dia berasa berat hati meninggalkan dunia sukan yang menjadi sebahagian besar daripada hidupnya.
“Ini Para SUKMA terakhir saya sejak kali pertama menyertainya pada umur 15 tahun ketika Para SUKMA 1994. Walaupun saya meraih pingat emas untuk Sarawak, perasaan saya sangat sedih kerana ini adalah kali terakhir saya di SUKMA.
“Tiada langsung perasaan gembira, hanya perasaan sedih,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Sarawak di sini, hari ini.
Fuad berkata, salah satu sebab utama perasaannya begitu terkesan adalah kerana persahabatan dan kenangan yang dibina sepanjang penyertaannya dalam Para SUKMA, terutamanya di arena angkat berat.
Tambah beliau, sukar baginya meninggalkan rakan-rakan seperjuangan dan suasana pertandingan yang sudah sinonim dengan hidupnya.
Walaupun beliau menerima tawaran untuk menjadi pembantu pengurus pasukan Sarawak, Muhammad Fuad buat masa ini mahu memberi tumpuan penuh kepada tugasnya di Majlis Pembandaran Padawan (MPP), tempatnya berkhidmat selama lebih 15 tahun.
“Sebelum ini, majikan saya sentiasa memberi sokongan penuh untuk saya bersukan dan mengikuti latihan. Kini, saya mahu fokus kepada kerja dan memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menyerlah,” katanya.
Fuad memulakan aksinya dengan cemerlang apabila mencatatkan angkatan 100 kg pada percubaan pertama, 105 kg pada percubaan kedua dan 108 kg pada percubaan ketiga, sekali gus memenangi pingat emas dengan angkatan keseluruhan 313 kg.
Beliau berjaya menewaskan Muhammad Bukhari Md Zan dari Johor yang meraih perak dengan angkatan 196 kg, dan Danggang Tiong dari Sarawak yang meraih gangsa dengan 188 kg.
Selain itu, Fuad juga berjaya menambah koleksi pingat emas apabila mencatat angkatan terbaik sebanyak 108 kg.
Beliau mengalahkan pesaing terdekatnya, Ali Saifuddin dari Pahang, mendapat pingat perak dengan mencatat angkatan 102 kg dan Bukhari Md Zan dari Johor pula meraih pingat gangsa dengan angkatan seberat 100 kg.
Oleh Mohd Neenatul Aizal