SEOUL: Seorang lelaki Korea Selatan ditahan selepas mengaku membunuh teman wanitanya dan menyimen mayatnya di balkoni di rumahnya sejak 16 tahun lalu.
Menurut Polis Wilayah Gyeongnam dan Balai Polis Geoje, suspek yang kini berusia 50-an, didakwa membunuh wanita itu pada Oktober 2008 selepas bertengkar.
Suspek memukul wanita itu dengan objek tumpul dan kemudiannya memasukkan mayat wanita ke dalam bagasi besar.
Dia kemudian menyembunyikan mayat itu di balkoninya dengan menyusun batu bata dan menuang lapisan simen setebal 10 sentimeter (empat inci).
Wanita itu tidak dilaporkan hilang sehingga tiga tahun kemudian, disebabkan dia tidak berhubung dengan keluarga sendiri.
Dalam siasatan orang hilang 2011, lelaki itu memberitahu polis, mereka ‘berpisah’ dan kes itu masih tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan bukti.
Seorang pegawai polis memberitahu pemberita, mayat itu tidak ditemui lebih awal kerana ia ditanam di ruang balkoni kecil dan bilik itu ‘hampir kosong sejak 2016’.
Pada tahun itu, suspek ditangkap kerana menggunakan dadah dan tuan rumah berkata kawasan itu kemudiannya digunakan untuk ruang simpanan.
Mayat itu ditemui bulan lalu selepas seorang pekerja yang sedang mencari kebocoran air menemui bagasi itu.
Selepas pemeriksaan, polis mendapati mayat wanita itu dilihat ‘terpelihara sedikit sebanyak’.
“Mayat itu belum reput sepenuhnya menjadi tulang, membolehkan polis dapat mengenal pasti identitinya menggunakan cap jari,” kata polis.
Lelaki itu dibawa untuk disoal siasat dan akhirnya mengaku melakukan pembunuhan itu.
Seorang pegawai polis dari Polis Wilayah Gyeongnam memberitahu AFP, siasatan dan soal siasat juga hampir selesai dan lelaki itu akan ‘diserahkan ke pendakwaan tidak lama lagi’. – AFP