KUCHING: Sukan boling padang memberikan sinar baharu kepada atlet Sarawak Ahmad Bashirun Ismail yang lumpuh separuh badan akibat terjatuh pokok kelapa, apatah lagi selepas menuai pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di sini hari ini.
Ahmad Bashirun yang beraksi dalam kategori open pairs B6 (kecacatan fizikal) bersama pasangannya Nischal Nischolas Bujang memenangi acara itu selepas mendominasi keempat-empat perlawanan dalam pusingan round robin.
“Mula-mula nak cari pengalaman, tapi lama-kelamaan jadi minat, jurulatih ambil saya kerana dapat tempat ketiga pada kejohanan pertama saya pada 2019 dan kali ini saya dapat pingat emas untuk Sarawak, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Lawn Bowl Arena Sarawak di sini hari ini.
Menurut atlet berusia 39 tahun itu, dia terpaksa menggunakan kerusi roda setelah lumpuh separuh badan akibat terjatuh pokok kelapa 11 tahun lepas.
Lebih menyayat hati, kegigihannya memanjat pokok setinggi tiga meter itu adalah kerana niat baiknya mahu membantu seorang wanita yang teringin minum air kelapa di sebuah kampung di pedalaman di sini.
“Saya baru balik memancing di kampung itu, saya keluar dari semak ada seorang mak cik yang haus, kempunan nak minum air kelapa, pada mulanya saya tidak mahu tolong panjat pokok itu…dalam perjalanan saya kesian, jadi saya patah balik semula ke rumahnya untuk bantu.
“Masa panjat pokok saya jatuh, mak cik itu lari masuk ke rumah tidak tolong, kawan saya cemas dan bawa saya ke hospital menaiki motosikal, kuku kaki saya hancur dan saraf di tulang belakang cedera akibat naik motosikal,” ceritanya kepadanya Bernama.
Susulan kemalangan terbabit, dia tidak sedarkan diri selama seminggu selain kehidupannya berubah ‘360 darjah’ kerana kehilangan pekerjaan sebagai juruteknik.
Namun sukan boling memberinya kekuatan untuk meneruskan kehidupan terutamanya apabila mendapat peluang untuk mewakili negeri kelahirannya Bumi Kenyalang.
Sementara itu, kategori singles wanita menyaksikan atlet tuan rumah Norhasfalinda Hamdan mengungguli acara dengan kemenangan empat round robin manakala pingat perak dan gangsa disambar pencabar dari Johor Nor Ilyana Abu Bakar dan atlet Perak Mokanayashini Krishna Naidu.
Norhasfalinda berkata emas yang diraih hari ini menjadi pembakar semangat buatnya memburu pingat pertama di Sukan Para Asia akan datang sekali gus menebus kekecewaan gagal membawa pulang sebarang pingat pada temasya sama di di Hangzhou, China tahun lalu.
— BERNAMA