KUCHING: “Gagal pecah rekod gara-gara tidak sengaja menyentuh rak barbel,” itu jelas atlet para angkat berat Sarawak, Bryan Junency Gustin.
Bagaimanapun, kejayaan Bryan meraih dua pingat emas dalam acara angkatan terbaik dan jumlah angkatan bagi kategori 88 kilogram, mencuri tumpuan pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024.
Bukan hanya menambah koleksi pingat Sarawak, Bryan turut mencatat nama dalam sejarah sukan negara apabila memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan.
Bryan memulakan pertarungan dengan angkatan 180 kg pada percubaan pertamanya, diikuti dengan 185 kg pada percubaan kedua.
Kegembiraan beliau memuncak ketika beliau memecahkan rekod kejohanan dan kebangsaan dengan angkatan 191 kg pada percubaan ketiganya, yang membolehkannya meraih emas dalam kategori angkatan terbaik.
Harapan Bryan untuk melakar rekod baharu melalui angkatan 201 kg dalam pusingan ‘power lift’ tidak kesampaian apabila percubaannya ditolak oleh juri akibat ketidakstabilan semasa angkatan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara penyerahan pingat di Dewan Serbaguna, Kompleks Belia dan Sukan Sarawak di sini, hari ini.
Mengenai pencapaian abangnya, Bonnie Bunyau Gustin, yang baru-baru ini meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024, Bryan mengungkapkan rasa bangga dan gembira terhadap kejayaan abangnya.
“Paling penting, saya berbangga dengan pencapaian beliau dan berharap dapat mengikut jejak langkahnya,” jelasnya.
Oleh Shahrul Qaizat