KUCHING: Tiga rekod kebangsaan masing-masing dua dalam acara memanah dan satu dalam acara renang lebur pada hari pertama Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 di sini hari ini.
Aksi di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya antara yang mencuri tumpuan apabila Loh Chi Hui dari Pahang mengungguli saingan kelayakan recurve individu wanita dengan catatan 574 mata, jauh mengatasi rekod 11 tahun yang dipegang Nor Sa’adah Abdul Wahab dengan 504 mata pada Kejohanan Memanah Para Asia (AAPC) 2013 di Bangkok.
Atlet berkerusi roda berusia 34 tahun itu sekali lagi mencipta kejayaan sensasi apabila gandinganya bersama Ahmad Jaffri Jamaluddin dalam acara berpasukan campuran recurve mencatat 1,153 mata secara keseluruhan untuk memadam rekod terdahulu dipegang bekas juara dunia 2019, S. Suresh dan Jennyla Kueh (1,093 mata) pada AAPC 2019.
Perenang negara Abd Halim Mohammad yang mewakili Sabah turut cemerlang apabila bukan sahaja merampas emas 400 meter (m) gaya bebas lelaki S8-S9 (kecacatan fizikal) daripada Rusdianto Rusmadi, malah catatan 5 minit 21.99 saat (s) diciptanya melebur rekod kebangsaan milik wakil tuan rumah itu 5:50.54s pada edisi lepas.
Dua lagi perenang iaitu Ethan Khoo Yin Jun dari Sabah dan perenang berusia 14 tahun dari Kuala Lumpur Asyiil Raziin Razman turut cemerlang memperbaharui rekod temasya .
Ethan yang meraih emas acara 100m kuak lentang lelaki S14 (kecacatan intelektual) merekodkan 1:06.20s untuk melebur rekod temasya milik perenang Negeri Sembilan Anas Zul Amirul Sidi (1:10.69s) dilakukan pada edisi 2018 di Perak.
Biarpun masih muda, penampilan sulung Asyiil cukup mengujakan apabila muncul pemenang 100m gaya bebas wanita S14 (kecacatan intelektual) menerusi catatan 1:23.35s sekali gus memadamkan catatan 1:26.29s oleh perenang Kedah, Puteri Nur Diyana Megat pada edisi 2022.
Saingan di Stadium Sarawak pula menyaksikan dua atlet Badrul Hisam Musa dan Muhammad Noorhelmie Mohd Rabi menyerlah dengan rekod temasya baharu dalam acara masing-masing.
Bukan sahaja merangkul emas, malah Badrul Hisam dari Johor memecahkan rekod temasya acara lontar peluru lelaki F12 (kecacatan penglihatan) sebanyak tiga kali hari ini.
Atlet berusia 31 tahun itu memadamkan rekod yang dilakukan pada edisi 2022 iaitu 9.70m dengan catatan 11.36m pada percubaan pertama diikuti 11.38m (percubaan ketiga) dan 11.85m (percubaan kelima).
Beraksi untuk Selangor, Noorhelmie yang mencatat 11.38s berjaya menebus kekecewaan tewas dua kali berturut-turut kepada pelari berpengalaman Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah pada dua edisi sebelum ini untuk membawa pulang emas dengan memecahkan rekod temasya ‘musuh ketatnya’ itu iaitu 11.40s pada edisi 2018.
Sementara itu, 67 emas menjadi rebutan esok dengan sukan olahraga menawarkan 29 emas yang merupakan jumlah pingat terbanyak berbanding lima sukan lain. – BERNAMA