BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melawat fasiliti syarikat RAW Solid Fuels di Kuala Segan dekat sini.
Lawatan itu menunjukkan sokongan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan industri tenaga hijau dan mampan di negeri ini.
Semasa lawatan itu, beliau diberikan taklimat ringkas mengenai teknologi inovatif yang digunakan dalam pengeluaran pelet biomasscserta potensi syarikat tersebut untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar dan pengeksport utama pelet biomass rumput di peringkat global.
RAW Solid Fuels memperkenalkan pelet ‘Hybrid Tropical Grass’ (HTG), yang merupakan alternatif negatif karbon kepada arang batu dan pelet kayu tradisional.
Pelet HTG menawarkan kecekapan penggunaan tanah melebihi sepuluh kali ganda berbanding pelet kayu, dengan kitaran karbon yang diukur dalam hari dan kandungan tenaga 15 peratus lebih tinggi.
Inovasi berkenaan membolehkan pelet HTG digunakan secara langsung sebagai bahan mentah untuk stesen kuasa, menyokong usaha global dalam pengurangan karbon dan pencapaian sasaran ‘net zero’.
Ketua Pegawai Eksekutif RAW Energy, Ramsay Wilson, berkata RAW Energy komited untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih sambil memacu pembangunan ekonomi.
“Kami teruja untuk menjadi perintis dan mengubah era penghasilan tenaga ini, menawarkan penyelesaian yang benar-benar boleh dikembangkan dan mampan yang membantu pelanggan kami mengurangkan jejak karbon mereka, sambil memberikan manfaat sosial dan ekonomi kepada komuniti yang tertinggal,” katanya.
Dengan komitmen terhadap kelestarian, RAW Energy berusaha untuk menghasilkan pelbagai bahan bakar mampan dan teknologi yang akan mendekatkan dunia kepada pencapaian sasaran ‘net zero’.
RAW Energy adalah penyedia bahan bakar mampan negatif karbon terkemuka dan merupakan syarikat induk kepada RAW Solid Fuels, RAW Biofuels, dan RAW Power, dengan visi untuk masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan.
Oleh Carolyne Utih