PETRA JAYA: Atlet olahraga, Mary Bada meraih pingat emas pertama pada penampilan sulungnya dalam acara lempar cakera wanita F40 (Kerdil) Para SUKMA XXI Sarawak 2024.
Atlet berusia 40 tahun itu juga mencuri tumpuan selepas memecahkan rekod temasya dengan mencatat jarak 10.66 meter, mengatasi rekod yang dipegang oleh Cordiria Nyoted dari Sarawak pada 2018 iaitu 9.36 meter.
“Saya gembira dan tidak sangka dapat memecahkan rekod serta menang pingat emas. Ini adalah kali pertama saya menyertai Para Sukma, dan saya ingin layak ke Sukan SEA.
“Selepas ini saya akan beraksi pada acara lontar peluru dan lembing sekali gus menyasarkan tiga pingat emas pada temasya kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai ganjaran insentif yang bakal diterima, beliau merancang untuk menyimpan wang tersebut untuk menjaga anak-anaknya yang masih bersekolah dan juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Pada masa sama, atlet dari Sarawak, Noor Zaidah Dahlan berjaya meraih pingat perak dengan jarak 10.40 meter manakala Fredechi Asri dari Sabah mendapat pingat gangsa dengan mencatat 9.56 meter.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang turut hadir bagi menyempurnakan acara penyampaian pingat.
Oleh Mohd Neenatul Aizal