MANCHESTER, England: Mikel Arteta berkata Arsenal yang beraksi 10 pemain berada dalam kedudukan hampir mustahil susulan kad merah Leandro Trossard pada babak pertama ketika The Gunners melepaskan gol lewat untuk seri 2-2 di Manchester City awal pagi tadi.
Arsenal berakhir sebagai naib juara di belakang City dalam dua musim terakhir dan hanya beberapa saat untuk mencetus tamparan psikologi awal dalam perebutan kejuaraan sebelum John Stones menyamakan kedudukan pada minit ke-98.
Trossard dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan babak pertama kerana menendang bola selepas melakukan kekasaran.
Arteta berang selepas Declan Rice menerima nasib sama dalam situasi sama ketika seri 1-1 menentang Brighton bulan lalu.
“Kami terjerumus dalam konteks perlawanan yang menjadikannya hampir mustahil bagi 56 minit,” kata Arteta.
“Saya amat bangga dengan mereka. Anda tidak boleh dilontarkan ke dalam situasi lebih sukar dan cara kami menangani situasi itu amat luar biasa.”
Arteta bertindak dengan mengorbankan Bukayo Saka bagi memasukkan seorang lagi pemain pertahanan Ben White ketika rehat apabila pelawat memenuhi kotak penalti mereka untuk menafikan City sebarang ruang.
Anak buah Guardiola di ambang mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam semua pertandingan sejak November 2022 hinggalah Stones menyepak masuk susulan sepakan sudut pada saat terakhir.
Arteta menambah: “99 daripada 100 kali anda bermain selama 56 minit di stadium ini 10 menentang 11 anda akan tewas dan kalah dengan jaringan besar.
“Ia luar biasa bagaimana mereka bertindak balas tetapi saya tidak boleh bergembira kerana saya mahu berada dalam situasi yang mana kami boleh menikmati perlawanan.”
Keputusan seri itu menyaksikan Arsenal masih dua mata di belakang pendahulu City. – AFP