KUALA LUMPUR: Hasrat beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mencipta sejarah baharu dan gelaran ketiga musim ini tidak kesampaian apabila terpaksa akur bergelar naib juara Terbuka China hari ini.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung selama 72 minit di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pasangan suami isteri itu tewas kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21.
Kekalahan Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ke-12 dunia itu meleburkan impian untuk muncul beregu campuran pertama negara menjuarai kejohanan berstatus Super 1000.
Bagaimanapun mereka mengulangi pencapaian gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang turut muncul naib juara pada edisi 2012.
Selaku naib juara, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$70,000 (RM294,350) berserta trofi manakala Yan Zhe-Dong Ping meraih AS$148,000 (RM622,340) dan juga trofi.
Untuk rekod pasangan negara itu sebelum ini berjaya meraih gelaran Terbuka Switzerland pada Mac lalu dan Masters Malaysia pada Mei. – BERNAMA